top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Shafie dakwa, beberapa Adun Warisan cuba dipengaruhi bekas pemimpin Warisan keluar parti



9 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) mendakwa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan cuba dipengaruhi seorang bekas pemimpin parti itu untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang yang banyak untuk menyertai parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, parti itu tidak pernah berkompromi dan menentang sekeras-kerasnya budaya lompat parti dengan cara penyogokan wang dan pangkat sama ada di peringkat negeri atau pusat.


Beliau berkata, dalam usaha kerajaan mendapatkan Parti Warisan menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan menyokong Kerajaan secara bipartisan dengan menolak budaya politik berlebihan ketika pandemik, terdapat pula unsur menawarkan jawatan dan imbuhan bagi menarik keluar dan menekan mana-mana Ahli Parlimen dan ADUN Pembangkang bagi menyertai Parti Kerajaan.


“Ini jelas bertentangan dengan semangat “Keluarga Malaysia” yang diwarwarkan.


“Parti Warisan melihat perkara ini sebagai satu perkembangan yang jelas menunjukkan Parti Warisan adalah sebuah parti pembangkang yang efisyen, padu dan cekap dalam menyediakan khidmat semak dan imbang kepada Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Kerajaan Persekutuan.


“Sehingga ada pihak yang merasa tercabar dengan kekuatan parti ini dan terus menerus menggunakan pelbagai cara untuk memastikan Warisan tidak dapat menjalankan peranannya sebagai parti yang menjaga kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Shafie berkata, Parti Warisan juga berpendirian, kemelut yang melanda parti komponen GRS iaitu antara parti UMNO dan Bersatu di peringkat pusat serta pengurusan pentadbiran negeri Sabah yang jelas tiada halatuju, menyebabkan GRS tiada jalan lain untuk menyelamatkan keadaan selain mempengaruhi ahli parti Warisan menyertai mereka.


Beliau berkata, Parti Warisan masih merupakan parti politik terkuat di negeri Sabah dengan kekuatan sokongan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri.


"Tiada parti lain yang mempunyai kekuatan sebegitu di peringkat negeri," katanya.


Sehubungan itu beliau meminta semua ahli dan penyokong serta kepimpinan di semua Bahagian supaya bertenang dan kekal setia dengan perjuangan asal Warisan.


Mengulas kenyataan Adun Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob yang bertindak keluar parti Warisan Shafie berkata, “beliau (Adun Sindumin) tidak wajar menggunakan alasan keputusan itu dibuat demi meneruskan khidmat kepada Rakyat setempat”.


“Ini kerana beliau sendiri sebelum ini telah diberi jawatan penting dalam Kabinet negeri iaitu Menteri Pendidikan dan Inovasi.


“Malah, kedudukan beliau sebagai Ketua Penerangan Parti membolehkan beliau menyertai perbincangan dan mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan Mesyuarat Pasca Majlis Raja-Raja bersama dengan Menteri Besar, sama ada mengiringi atau mewakili Presiden parti,” kata Shafie.


Dalam sidang akhbar, pada Jumaat Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Persekutuan dan negeri.


Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.


Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah Adun Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan Adun Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

留言


bottom of page