Shahelmey sambut baik cadangan Sabah diberi autonomi urus bajet persekutuan
12 Disember 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya mengalu-alukan cadangan supaya Sabah diberi autonomi penuh mengurus bajet bagi projek-projek persekutuan di Sabah.
Beliau berkata ianya amat baik sekiranya dapat direalisasikan kerana dalam konteks pembangunan orang Sabah lebih memahami keadaan atau situasi sebenar di negeri ini.
“Autonomi untuk mengurus bajet bagi projek-projek persekutuan adalah satu cadangan yang dialu-alukan tetapi pada masa yang sama kita juga mengetahui untuk menyalurkan peruntukan persekutuan terus kepada negeri secara total akan melibatkan isu perundangan dan perlembagaan.
“Perkara ini harus diperhalusi dahulu dan saya yakin pekara ini memang sedang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekarang ini.
“Cabaran mengurus pelaksanan projek pembangunan persekutuan akan lebih difahami secara lebih jelas dan efektif jika dapat dilaksanakan melalui pihak kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam Webinar “Semakan Belanjawan 2022, Masa Hadapan Untuk Sabah, anjuran Kinabalu Reform And Research Initiative For Strategic Leadership (KRISTAL), semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan pelbagai pihak supaya Sabah diberi autonomi penuh mengurus peruntukan persekutuan bagi melaksanakan projek-projek persekutuan di negeri ini.
Ir Shahelmey berkata, buat masa ini, projek persekutuan dilaksanakan melalui pejabat persekutuan di Sabah.
“Kerajaan negeri juga mewujudkan beberapa jawatan termasuk Exco Kesihatan, Exco Pelajaran dan Exco Hal Ehwal Pengguna bertujuan untuk melancarkan koordinasi dan komunikasi antara Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan dalam melaksanakan projek supaya keperluan itu dapat direalisasikan bukan sekadar membelanjakan peruntukan dalam bajet tetapi mengikut keperluan setempat.
“Contohnya, satu sekolah menengah amat diperlukan di Putatan tetapi disebabkan Putatan daerah yang agak kecil ia mempunyai kesukaran untuk menyediakan tapak tanah, maka bajet sekolah dibawa ke tempat lain yang mungkin kurang memerlukan pembinan sebuah sekolah baharu.
“Sebab itu amat penting satu koordinasi dan komunikasi efektif antara kerajaan negeri dan persekutuan bagi memastikan apa yang kita mahu dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya sejauh mana permasalahan rakyat Sabah diambil perhatian dalam Bajet Negeri 2022 yang dibentangkan baru-baru ini, Ir Shahelmey berkata, kerajaan menangani masalah rakyat melalui bajet pusat dan negeri.
“Dalam Bajet Pusat, kerajaan telah mencadangkan di bawah skim Bantuan Keluarga Malaysia sebanyak RM8.2 bilion peruntukan disediakan iaitu bantuan tunai untuk membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan rentan dan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas semasa pandemik Covid-19 bagi tujuan pemelegaan.
“Bagi Negeri Sabah pula, kita melengkapkan cadangan itu dengan memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi negeri ini berpaksikan halatuju Sabah Maju Jaya.
“Peringkat persekutuan memberikan bantuan kewangan melibatkan rakyat yang terkesan, manakala negeri pula memfokus kepada usaha menjana kembali pertumbuhan ekonomi negeri ini,” katanya.
Antara ahli panel yang terlibat dalam perbincangan itu ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah.
Comments