SIASATAN BEBERAPA ADUAN, PICAGARI KOSONG
- nabalunews
- Jul 20, 2021
- 2 min read

20 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) memandang berat beberapa dakwaan mengenai suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial.
CITF dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai dakwaan petugas menggunakan picagari kosong ketika program vaksinasi Covid-19.
Menurut kenyataan CITF, kes pertama berlaku pada 17 Julai di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah di mana PPV tersebut dikhaskan kepada anggota ATM dan ahli keluarga mereka sahaja.
“Vaksinasi di PPV tersebut dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem tersebut.
“Satu siasatan telah dijalankan oleh pihak ATM mengenai kejadian tersebut di mana individu-individu yang terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut.
Katanya lagi, terdapat dua lagi dakwaan mengenai suntikan vaksin kosong. Di PPV Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), kejadian didakwa telah berlaku pada 17 Julai 2021 dan orang awam yang terlibat telah membuat laporan polis.
“Di PPV Bangi Avenue Convention Centre (BACC), dakwaan mengenai suntikan palsu ini telah dibuat pada 18 Julai 2021 dan laporan polis telah dibuat oleh penyedia perkhidmatan kesihatan (HCO) terbabit.
“Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
“Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini,” kata kenyataan itu.
CITF berkata, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.
Katanya lagi, orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya.
Comentários