- Farah Salim
Siasatan SPRM satu bentuk intimidasi: Maszlee Malik

30 Januari 2022
Oleh Farah Salim
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr.Maszlee Malik menyifatkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya dan beberapa pegawainya di Parlimen Simpang Renggam sebagai satu bentuk intimidasi.
Bekas Menteri Pendidikan itu turut mendakwa SPRM menggunakan taktik ugutan terhadapnya dan kakitangannya kerana penyertaan dalam demonstrasi menuntut Azam Baki ditahan.
“Saya rasa perlu saya bawa kepada pengetahuan umum dan menteri dalam negeri bahawa pada waktu ini saya sedang diintimidasi.
“Pegawai SPRM telah datang intimidasi pegawai-pegawai saya di Simpang Renggam dan mereka juga telah melakukan intimidasi terhadap orang-orang yang telah membantu saya. Mereka (pegawai SPRM) kata ada laporan (dibuat) terhadap saya. Laporan apa?
"Program-program pendidikan, program untuk memandaikan rakyat dan program mengalakkan pembacaan untuk murid kembali ke sekolah?
“Adakah ini satu dosa kepada SPRM? Nak ke mana perginya negara kita ini?,” katanya dipetik dalam video pendek yang dikongsinya melalui Twitter hari ini.
Dr Maszlee membidas tindakan yang didakwa sebagai gangguan dan berkata, wang derma dan peruntukan Ahli Parlimen semua digunakan untuk rakyat dan tidak perlu diselidiki oleh SPRM.
“Saya tidak mempunyai saham, saya tidak mempunyai jutaan duit. Umum tahu duit yang diberi rakyat kita beri kepada rakayat untuk pendidikan.
“Duit yang saya dapat sendiri hasil upaya kita berikan kepada rakyat untuk mengangkat pendidikan dan demi memandaikan anak-anak di Simpang Renggam.
“Kepada SPRM saya katakan, kembalikanlah dhomir kemanusiaan anda,” katanya.
Video itu turut mendapat perhatian netizen dengan pelbagai komen menyokong kenyataan Mazlee.
“Teruskan perjuangan YB demi rakyat. Kami menyokong penuh YB.
“Terbaik YB. Berani kerana benar. Lawan tetap lawan,” antara komen netizen di Twitter.