top of page
Farah Salim

PH gesa Sidang Parlimen segera bahas RUU Anti Lompat Parti



27 Mei 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Perdana Menteri mengadakan Sidang Khas Parlimen secepat mungkin bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Menurut Majlis Presiden PH, sebelum ini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.

“Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.


“Juga harus dibincangkan mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik COVID-19 melanda, terpalit dengan rasuah.


“Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” kata kenyataan itu, kelmarin.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau.


Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik bersetuju untuk mengadakan satu lagi sidang khas Parlimen berkaitan RUU Anti Lompat Parti.


Sidang khas kedua itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Comments


bottom of page