top of page
  • Wartawan Nabalu News

SIDANG PARLIMEN UNTUK BERI PENERANGAN, AHLI PARLIMEN SIFATKAN BAGAI 'MELEPASKAN BATUK DI TANGGA'



5 Julai 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen menyifatkan pembukaan semula persidangan Parlimen bermula 26 Julai ini sebagai tidak bersungguh-sungguh dan sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’.


Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan dalam perkongsian melalui Twitternya hari ini menyatakan: “seperti melepaskan batuk di tangga - itulah pepatah bila buka Parlimen dengan tidak bersungguh-sungguh, ala kadar sahaja”.


“Maka Ahli Parlimen akan jadi seperti ‘rubber stamp’ bukan lagi penggubal undang-undang, pembuat dasar, pemberi idea dan cadangan bagi manfaat rakyat dan negara ...mendukacitakan,” katanya.


Sementara itu Ahli Parlimen Muar Syed Saddid turut bersetuju dengan kenyataan Ahmad.

“Saya setuju dengan YB (Ahmad Maslan) … buat apa buka Parlimen jika tiada perbahasan dan undian.


“Hadir sekadar dengar ceramah kerajaan. Saya nak bawa isu rakyat. SOP dua darjat, yuran universiti, moratorium tanpa faedah, cash handout bagi rakyat dan banyak lagi,” katanya.


Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, berdasarkan kenyataan itu, persidangan Parlimen hanya untuk sesi penerangan sahaja dan tiada perbahasan.


“Bagaimana kami membawa isu rakyat seperti vaksin, moratorium dan SOP PKPD? katanya


Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata: “Kalau setakat nak bagi penerangan je baik hantar PDF”.


Ahli Parlimen Kangar Amin Ahmad berkata: “Sidang Parlimen nak buat tanpa perbahasan? kamu boleh cuba. Jangan memalukan demokrasi di negara kita”.


Sementara itu Datuk Najib Tun Razak dalam perkongsian melalui Facebooknya hari ini berkata, rancangan kerajaan PN untuk Dewan Rakyat bersidang hanya lima hari sahaja selepas berehat lapan bulan tanpa memberi ruang untuk membincang bantuan rakyat, Pelan Pemulihan dan Ordinan-Ordinan Darurat tidak menepati Titah dan matlamat atau menyelesaikan masalah paling utama negara.


Beliau berkata, bantuan rakyat perlu dibahas dan diperbaiki.


“Begitu juga dengan Pelan Pemulihan Negara perlu diubahsuai untuk melawan Covid dengan lebih berkesan agar rakyat boleh bebas dan bernafas semula secepat mungkin.


“Ordinan-ordinan Darurat perlu dibahas dan diluluskan supaya tidak melanggar perlembagaan negara serta titah DiRaja,” katanya.

Comments


bottom of page