top of page
Wartawan Nabalu News

SIS persoal garis masa pelan pemerkasaan Undang-Undang Syariah


7 Sept 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Organisasi Sisters in Islam (SIS) mempersoalkan garis masa pelan pemerkasaan Undang-undang Syariah peringkat persekutuan yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, baru-baru ini.


"Mengapa ini menjadi keutamaan Ahmad Marzuk ketika Malaysia masih lagi berada dalam kemelut Ordinan Darurat yang masih belum dibatalkan melalui sidang parlimen atau Yang di-Pertuan Agong?


"Proses penggubalan undang-undang masih lagi tersekat akibat penangguhan sidang Parlimen," kata organisasi itu melalui satu kenyataan, hari ini.


Menurut satu laporan media, pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah untuk tempoh lima tahun bermula 2020 telah dirangka bagi memartabatkan pelaksanaan undang-undang yang berkaitan di negara ini


"Apakah kerajaan baru ini masih boleh meneruskan mandat darurat? Menurut persetujuan yang telah dicapai bersama pemimpin parti politik pembangkang, keutamaan akan diberikan kepada menangani krisis pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.


"Kes kematian masih lagi tinggi dan rakyat menderita dan terkesan dengan pandemik ini. Apa sebenarnya fokus kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri?


"Adakah untuk merangka pelan pemulihan pandemik dan ekonomi atau membawa agenda parti politik masing-masing?" soal SIS.


Ahmad Marzuk dipetik sebagai berkata, kerajaan bercadang menggubal 11 undang-undang baharu menerusi pelan itu selain membuat pindaan akta-akta sedia ada dan juga lapan Syariah subsidiari.


Katanya, penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut.


Selain pindaan kepada Akta 355, rang undang-undang baharu yang bakal digubal melibatkan wakaf, kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam, mufti dan mahkamah syariah.

ความคิดเห็น


bottom of page