Siswa siswi penentu masa depan negara: Ewon
15 September 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Masa depan negara bergantung kepada sejauh mana golongan mahasiswa dan siswi menerima kemajmukan rakyat sebagai kekuatan, kata Menteri Pembangunan Ushawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, ini kerana negara majmuk memerlukan rakyat untuk saling hormat menghormati dan bertoleransi diantara satu sama lain bagi mengukuhkan hubungan antara kaum.
Sehubungan itu katanya, Program Misi Sukarelawan Siswa amat penting bagi membolehkan siswa siswi dari seluruh negara memahami, mempelajari dan menghormati adat resam, budaya, bangsa dan agama masyarakat lain di negara ini.
“Ini signifikannya program ini, di mana anak-anak muda di kalangan mahasiswa dari seluruh negara datang ke kampung terpilih mempelajari warisan budaya, bahasa, adat resam dan agama bagi membentuk masyarakat yang bertoleransi untuk membina negara yang lebih baik pada masa hadapan.
“Saya percaya golongan siswa dan siswi yang menyertai program ini akan menjadi ejen perpaduan, integrasi, diplomasi dan toleransi negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Penutupan Misi Sukarelawan Siswa Yayasan Sukarelawan Siswi (YSS) Ke Sabah 2024, di Dewan Kampung Moyog, di sini, semalam.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, golongan siswa siswa adalah pelapis kepimpinan negara harus mempunyai toleransi yang tinggi agar perpaduan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini terus kukuh.
“Harapan kita terletak kepada anak-anak muda. Jika hari ini masih ada kekurangannya, maka mereka harus melengkapkan apa yang telah dilaksanakan oleh pemimpin pada hari ini,” katanya.
Beliau yakin misi program ini telah mencapai matlamat bukan hanya meningkatkan semangat kesukarelawanan dan bermasyarakat tetapi memupuk semangat integrasi nasional di kalangan siswa siswi dengan rakyat di Sabah dan Sarawak dan siswa siswa daripada Sabah ke Semenanjung.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menzahirkan penghargaan kepada YSS dan siswa-siswi yang mengambil bahagian dalam misi di DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang.
“Ini merupakan komitmen besar saya kepada kedua-dua kawasan yang saya wakili untuk membawa masuk perkhidmatan kerajaan menerusi pelbagai kementerian dan agensi.
“Misi ini bukan hanya penting untuk membina semangat kesukarelawanan dan memupuk semangat bermasyarakat di kalangan siswa siswi, tetapi lebih penting mereka boleh mengenali kebudayaan dan adat resam pelbagai kaum di Malaysia seterusnya membina semangat saling menghormati dan bertoleransi.
“Kita akan menyambut ulang tahun penubuhan negara Malaysia yang ke-61 tahun ini, maka penting anak-anak muda di kampus-kampus pengajian menginsafi, menghormati dan bertoleransi dengan kemajmukan rakyat.
“Masa depan negara ini banyak bergantung kepada sejauh mana anak-anak muda menerima kepelbagaian dan kemajmukan ini sebagai kekuatan,” katanya.
Comments