SK Kaung Meriahkan Pelancaran Bulan Kebangsaan Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”
- nabalunews
- Aug 5, 2025
- 1 min read

5 Ogos 2025
KOTA BELUD : Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung telah mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan 2025 dengan penuh semangat patriotik di Dewan Terbuka Kampung Kaung pada 4 Ogos 2025. Majlis bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” itu berjaya menghimpunkan seramai 87 warga sekolah, termasuk guru besar, barisan pentadbir, guru-guru serta murid-murid yang hadir seawal jam 7.00 pagi.
Majlis dimulakan sekitar jam 7.30 pagi dengan ketibaan guru besar dan warga sekolah, diikuti nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri, lagu sekolah serta lagu Malaysia MADANI. Bacaan doa oleh ustaz dan lafaz ikrar kemerdekaan menyemarakkan lagi semangat cinta akan tanah air dalam kalangan murid.
Ucapan alu-aluan oleh Penyelaras Program, Zaiman (PK HEM), membuka tirai sambutan sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Guru Besar. Gimik pelancaran diserikan dengan laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali yang diketuai oleh Guru Besar, disusuli nyanyian lagu tema Hari Kebangsaan 2025 sambil para peserta mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat.

Penganjuran majlis ini bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah, meningkatkan kesedaran terhadap sejarah kemerdekaan negara serta memupuk nilai-nilai MADANI seperti hormat, kasih sayang dan amanah. Ia turut menjadi platform untuk mewujudkan suasana sekolah yang ceria dan meriah sepanjang bulan Ogos dan September, sejajar dengan usaha memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Pelbagai aktiviti mingguan akan dilaksanakan sepanjang bulan kebangsaan, antaranya pertandingan mewarna, kuiz kemerdekaan, tayangan video patriotik, deklamasi sajak, pameran kemerdekaan, pertandingan poster serta Kembara Patriotik Sekolah. Majlis penutupan rasmi dijadualkan pada minggu keenam, yang akan diserikan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
SK Kaung komited untuk menjadikan sambutan ini sebagai medium pendidikan nilai kenegaraan dan pengukuhan semangat Malaysia MADANI dalam kalangan murid, demi melahirkan generasi yang berjiwa patriotik dan berintegriti tinggi.















Comments