SK Mangkulat Kota Belud anjur sambutan Krismas peringkat sekolah

27 Disember 2024
KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Mangkulat akan mengadakan Sambutan Krismas 2024 Peringkat Sekolah pada 30 Disember ini di Dewan Terbuka sekolah.
Program ini akan diisi dengan pelbagai aktiviti menarik untuk murid-murid dan warga sekolah.
Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin, mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, telah menyampaikan sumbangan kewangan untuk menjayakan acara tersebut. Sumbangan tersebut diterima oleh Timbalan Pengerusi Penganjur, Primus Kendely.
Menurut Primus, program ini akan menampilkan pertandingan seperti koir lagu-lagu Krismas dan pakaian bertemakan Krismas yang melibatkan penyertaan aktif murid.
Selain itu, seramai 60 murid sekolah ini turut akan menerima wang saku sebagai sebahagian daripada program tersebut.
Acara ini juga mendapat kerjasama erat antara warga sekolah dan komuniti, dengan peranan penting dimainkan oleh Pengerusi Penganjur, Rositah Ebbie, dan Timbalan Pengerusi, Rosmin Kimin.
“Sumbangan ini amat bermakna kepada kami dan membantu melancarkan program Sambutan Krismas 2024. Terima kasih kepada Ewon dan semua pihak yang telah memberikan sokongan,” katanya.
Comments