- Wartawan Nabalu News
SKMM tegas tangani penyalahgunaan Internet

8 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) supaya mematuhi tanggungjawab dan tugas mereka di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) bagi menangani penyalahgunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi.
Ini berikutan peningkatan jumlah aduan awam yang berkaitan dengan jenayah dalam talian seperti penyebaran bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak, perjudian dalam talian, kandungan yang menggugat kestabilan kaum dan kepentingan agama, penghinaan terhadap Institusi Diraja, penipuan dan penyalahgunaan maklumat peribadi (phishing), penjualan dan promosi dadah serta bahan terlarang, penyamaran, penyebaran berita palsu dan maklumat palsu, dan penjualan produk kesihatan tanpa lessen.
Menurut kenyataan SKMM, Seksyen 263 AKM 1998 mewajibkan ISP memberi komitmen penuh bagi menghalang sebarang kesalahan penggunaan perkhidmatan, tingkah laku melanggar undang-undang, atau aktiviti lain yang melibatkan perlindungan hasil pendapatan awam dan keselamatan negara.
"Mereka juga dikehendaki menyediakan sumber dan kepakaran yang mencukupi untuk memastikan keperluan Seksyen ini dilaksanakan segera serta mematuhi sebarang permintaan atau arahan dikeluarkan SKMM.
"Menurut Seksyen 244 AKM 1998, bukan sahaja organisasi ISP itu sendiri yang boleh dikenakan tindakan, malah pengarah, ketua pegawai, atau individu yang bertanggungjawab dalam pentadbiran syarikat juga mungkin dihadapi pertuduhan jika mereka dengan sengaja terlibat dalam aktiviti jenayah selepas dimaklumkan tentangnya," jelas kenyataan itu lagi.
SKMM menyeru semua pihak, termasuk ISP dan pengguna Internet, untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan dalam memastikan keutuhan dan keselamatan penggunaan Internet di negara ini.
SKMM juga berazam untuk terus memantau perkembangan dalam arena digital dan akan mengambil tindakan lebih lanjut jika terdapat penyalahgunaan atau aktiviti yang melanggar undang-undang.