top of page

SME Bank Sasar Pembiayaan Lestari RM10 Bilion, Pembiayaan Hijau RM1 Bilion Menjelang 2030

  • nabalunews
  • Oct 30, 2024
  • 2 min read

30 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyasarkan pembiayaan lestari sebanyak RM10 bilion dan pembiayaan hijau RM1 bilion menjelang 2030 melalui Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0.


Pemangku Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 itu adalah pelan tujuh tahun bertujuan menangani risiko berkaitan iklim, sejajar matlamat kemampanan strategik jangka panjang SME Bank.


“Pelan itu akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif terutamanya Dana Kelestarian RM100 juta yang diperuntukkan kepada SME Bank menerusi Belanjawan 2025,” katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut, di sini, malam semalam yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.


Pelan tersebut dirangka susulan kejayaan Pelan Hala Tuju Kelestarian 1.0 yang dilaksanakan dari tahun 2021-2023 dengan sebanyak RM5.89 bilion pembiayaan lestari diluluskan merentasi pelbagai segmen afirmatif utama yang menyumbang kira-kira 95 peratus atau RM6.17 bilion daripada jumlah kelulusan Bank untuk tempoh 2022-2023.


Sementara itu Ramanan berkata pelancaran pelan tersebut yang menyasarkan operasi neutral karbon menjelang 2030 adalah satu langkah kehadapan dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap agenda pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.


“Usaha itu juga mengukuhkan kedudukan kita dalam kalangan negara-negara ASEAN sebagai peneraju dalam pembiayaan lestari dan pembiayaan hijau,” katanya.


SME Bank dalam satu kenyataan berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 menetapkan laluan yang jelas untuk perjalanan lestari bank tersebut yang berpaksikan kepada tiga fasa.


Menurut bank itu, fasa pertama akan memberi tumpuan kepada penyesuaian terhadap keperluan kawal selia manakala fasa kedua akan menerajui penyepaduan amalan kelestarian ke dalam operasi SME Bank.


Fasa tiga pula akan menyaksikan kemajuan dan peningkatan inisiatif kelestarian untuk impak dan kecekapan maksimum.


“Hal itu akan menyokong matlamat SME Bank untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan penggunaan elektrik secara beransur-ansur sepanjang tujuh tahun,” katanya.


Bank itu berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 akan memberi tumpuan kepada tujuh sasaran dikaitkan dengan tiga tonggak kelestarian dan empat matlamat jangka panjang, memastikan pengawasan berterusan dalam menangani risiko berkaitan iklim.


Pelan tersebut juga sejajar dengan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario (CRMSA) Bank Negara Malaysia (BNM), katanya.


Selain itu, SME Bank turut menawarkan inisiatif seperti pembiayaan hijau untuk pelanggan yang layak iaitu Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) yang sumber dananya adalah daripada BNM.


SME Bank juga menawarkan Skim Insentif Kelestarian ("SIK") di bawah Belanjawan Negara 2023, di mana RM10 juta telah diperuntukkan untuk memudahkan pembinaan kapasiti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).


Sejajar dengan peranan mandat SME Bank dalam menyediakan nilai melangkaui pembiayaan,

SME Bank telah melatih lebih 1,508 PMKS di bawah SIK fasa 1 dari tempoh Julai 2023 – Jun 2024 melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd.

("CEDAR").


Pada masa ini, SME Bank sedang melengkapkan fasa 2 yang bermula pada Januari 2024, di mana 330 daripada 1,508 peserta awal semakin mendalami kemahiran ESG merentasi pelbagai modul iaitu Penilaian Materialiti, Perakaunan Karbon dan membentuk Pelan Tindakan Lestari yang disasarkan lengkap menjelang Disember 2024.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page