top of page
  • nabalunews

SME Bank Sumbang RM74,100 kepada Sekolah Terjejas Banjir di Sabah

2 Ogos 2024


KOTA KINABALU : SME Bank mengambil langkah proaktif untuk membantu sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir kilat di Penampang pada 30 Jun lalu dengan menyumbangkan RM74,100 kepada empat sekolah di daerah itu.


Sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony, SK St Theresa Inobong, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin dan SK Babagon itu bagi membantu pelajar yang kehilangan barangan dan peralatan sekolah.


Sumbangan ini juga bertujuan meringankan beban keluarga dan memastikan para pelajar dapat meneruskan pendidikan mereka.


Pemangku Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata sumbangan ini adalah selaras dengan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SME Bank dan juga sebahagian daripada usaha berterusan bank itu untuk menyokong komuniti yang memerlukan serta memastikan pelajar yang terjejas akibat bencana alam itu boleh meneruskan sesi pembelajaran mereka dengan lancar tanpa gangguan.


"Kami percaya dalam prinsip menyokong komuniti tempat kami beroperasi, terutamanya pada masa yang memerlukan.


"Sokongan ini membantu seramai 247 pelajar menggantikan pakaian seragam sekolah, kasut, dan barangan penting lain.


"Sumbangan ini adalah bukti komitmen berterusan SME Bank terhadap tanggungjawab sosial, sokongan komuniti dan kehadiran kami yang kukuh di Kota Kinabalu dan Tawau," tambahnya.


Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan bersama Program Ehsan oleh KUSKOP telah berlangsung semalam di Dewan Huguan Siou, Tuavon, di sini.


Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain bersama agensi KUSKOP serta pemimpin komuniti yang lain.

댓글


bottom of page