Sokongan anggota, tadbir urus antara penentu kejayaan koperasi: Ewon
28 Januari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kejayaan sesebuah koperasi bukan hanya bergantung kepada sokongan anggota-anggotanya tetapi kesungguhan anggota lembaga menjalankan perniagaan dengan tadbir urus yang baik.
Beliau berkata, di samping tadbir urus koperasi yang baik, hubungan baik dengan pihak SKM selaku regulator dan pembimbing juga amat penting.
“Saya berharap Koperasi Kituau Ramayah Berhad terus berkembang maju untuk meningkatkan pendapatan anggota-anggota koperasi seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sehingga 30 Jun 2022 sebanyak 14,975 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 7.03 juta orang. Jumlah modal syer/yuran dan jumlah aset koperasi masing-masing mencatatkan sebanyak RM16.52 bilion dan RM156.18 bilion.
“Dalam tempoh yang sama, jumlah koperasi berdaftar di Sabah pula ialah 1652 buah dengan keanggotaan seramai339 ribu orang. Jumlah modal syer/yuran dan jumlah aset koperasi masing-masing mencatatkan jumlah sebanyak RM 218 juta dan RM 887 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Kituau Ramaya Berhad kali ke-26, di Dewan Raya Kg.Ramayah, Penampang, di sini, hari ini.
Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Carl Moosom.
Turut hadir PengerusiKoperasi Kituau RamayahBerhad Datuk Seri Panglima Marcel Leikin, Penolong Pengarah Kanan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Pantai Barat Selatan Datu Mohd Rais Aslam Datu Jamigul dan ahli-ahli lembaga koperasi.
Ewon berkata, kementeriannya terus komited meneruskan agenda transformasi koperasi melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan pelan tindakan.
“Ini selaras dengan tanggungjawab kementerian mengawal selia dan membangunkan koperasi di seluruh negara.
“Bagi perancangan awal dan memastikan keterlibatan kementerian lebih menyeluruh kita telah memohonsemua agensi di bawah kementerian serta jabatan-jabatan berkenaan memberikan tumpuan yang lebih kepada Sabah dan Sarawak tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada,” katanya.
Comments