top of page

Speaker halang Ewon berbahas mengenai tuntutan Sulu dan perjanjian NCA

Wartawan Nabalu News


21 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Timbalan Speaker Datuk Ahmad Abdul Rahman tidak membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick meneruskan perbahasan beliau berkaitan tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah dan perjanjian Nature Conservation Agreement (NCA).


“Saya tidak membenarkan Yang Berhormat meneruskan perbahasan berkaitan tuntutan Sulu kerana kenyataan Ketua Menteri yang tidak mengiktiraf tuntutan Filipina sudah mencukupi. Perbahasan perlu berkaitan dengan dasar Kerajaan,” kata Ahmad yang mempengerusikan sidang semasa Ewon menyampaikan ucapan perbahasan, pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Bagaimanapun, Ewon menjelaskan perbahasan beliau berkaitan tuntutan Sulu dan keputusan penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa supaya Kerajaan Malaysia membayar AS$14.92 bilion atau RM62.59 bilion penting kerana menjadi isu besar rakyat Sabah.


“Kandungan ucapan saya berkaitan dengan dasar Kerajaan juga berkaitan dengan perjanjian di antara Sultan Sulu dengan Baron Von Overbeck dan Alfred Dent pada tahun 1878.


“Kita perlu buat ketetapan di Dewan ini untuk menyokong kenyataan Ketua Menteri yang tidak mengiktiraf tuntutan Sulu atau Filipina. Dewan ini perlu membuat keputusan untuk menolak tuntutan tersebut,” kata Ewon.


“Kita perlu mengambil ikhtibar daripada peristiwa perjanjian 1878 tersebut supaya tidak seharusnya ada perjanjian baharu yang akan mengikat rakyat Sabah dengan masalah baharu,” katanya.


Beliau kemudiannya meneruskan perbahasan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perjanjian Petronas 1976.


“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sendiri gagal dilaksanakan daripada yang sepatutnya. Takkanlah selepas 58 tahun perjuangan menuntut MA63, baru permit aktiviti laut dalam yang diperolehi oleh Sabah.


“Perjanjian Petronas yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan Petronas pada tahun 1976 yang memberi hak ekslusif kepada Petronas untuk membangun dan mengaut keuntungan buat selama-lamanya sumber gas dan minyak Sabah merupakan satu kesilapan besar dan telah membantutkan kemajuan Sabah buat selama-lamanya juga,” katanya.


Semasa mula membahaskan perkara berkaitan perjanjian Nature Conservation Agreement (NCA) yang ditandatangani oleh Kerajaan Negeri Sabah dengan syarikat Hoch Standard dari Singapura, Speaker kemudiannya mencelah dan meminta Ewon tidak meneruskan perbahasan berkaitan NCA.


“Peguam Negeri telah menyatakan bahawa perjanjian tersebut adalah ‘impotent’ dan tidak perlu lagi dibincangkan,” kata Ahmad.


Bagaimanapun, Ewon menyatakan perjanjian NCA berkaitan dengan ucapan dasar Kerajaan yang telah disampaikan pada minggu lepas.


“Syukurlah jika perjanjian itu sudah dibatalkan atau tidak diteruskan, tetapi jika belum, saya berpendapat ianya harus dibatalkan. Kita tidak mahu perjanjian baharu yang akan memberi masalah kepada rakyat Sabah,” kata Ewon.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page