top of page
nabalunews

SSBA MOHON YURAN LESEN DIKETEPIKAN SEPANJANG PKP


Presiden SSBA, Frankie Kok

3 Feb 2021


KOTA KINABALU: Persatuan Snooker dan Billiard Negeri Sabah (SSBA) memohon kerajaan negeri atau agensi berkaitan untuk mengetepikan yuran lesen meja snuker dan billiard sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Selain membayar sewa kedai, pengusaha kedai Snuker dan Billiard juga terpaksa menanggung kerugian kerana perlu membayar yuran meja sebanyak RM55 untuk satu meja setiap bulan.


Presiden SSBA, Frankie Kok berkata, pungutan yuran berkenaan tidak pernah dihentikan walaupun operasinya diarah tutup beberapa kali sejak Mac tahun lalu.


Malah katanya, walaupun dibenarkan beroperasi, ramai pelanggan yang tidak berani datang untuk bermain kerana bimbang dengan penularan Covid-19.


“Kerajaan atau pihak berwajib mungkin terlepas pandang mengenai isu bayaran yuran meja ini. Apa yang pasti, pelaksanaan PKP sememangnya amat menjejaskan perniagaan kami.


“Saya mewakili semua ahli persatuan merayu supaya perkara ini diambil perhatian oleh pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui, hari ini.


Frankie berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan atau agensi berkaitan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik.


Katanya, mereka amat berharap nasib pengusaha premis snuker dan billiard dapat dipertimbangkan.

コメント


bottom of page