top of page
  • Wartawan Nabalu News

STB mahu bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bangunkan pelancongan luar bandar Sabah

27 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama mapan dengan Kementerian Ekonomi selaras dengan visi membangunkan secara menyeluruh pelancongan luar bandar di Sabah.


Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai berkata, kerjasama strategik tersebut berpotensi memperkasakan ekonomi dan mengurangkan kemiskinan dalam kalangan komuniti setempat.


Pada Rabu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, melawat Kampung Poturidong Kiulu untuk melihat sendiri potensi pelancongan berasaskan komuniti serta eko-pelancongan tagal dalam memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar.


Diiringi Joniston yang juga Adun Kiulu, Hanifah disertai kira-kira 30 peserta Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang diadakan di Kota Kinabalu.


Dalam perbincangannya dengan Joniston, Hanifah menyatakan rasa kagum beliau terhadap sistem tagal dan mengakui potensinya sebagai tarikan pelancong yang penting.


Sistem tagal merupakan amalan komuniti tempatan yang melarang penangkapan ikan di sungai untuk tempoh masa tertentu.


Tujuan sistem ini adalah untuk mengatasi masalah kekurangan sumber ikan air tawar dan mengelakkan pencemaran sungai selain menjana pendapatan masyarakat.


Hanifah menekankan keperluan untuk Sabah memanfaatkan tarikan uniknya, termasuk sistem tagal, keindahan alam semula jadi yang terpelihara, dan sungai yang indah sebagai contoh utama.


Menyedari kepentingan pelancongan luar bandar, Timbalan Menteri juga bersetuju mengenai keperluan untuk menambah baik kemudahan asas untuk keselesaan pengunjung.


Beliau menekankan bahawa Kementeriannya akan melihat bagaimana ia boleh memainkan peranan dalam membangunkan lagi pelancongan luar bandar di Sabah.


Sementara itu, Joniston melahirkan harapan agar Lembaga Pelancongan Sabah diberi peluang untuk membentangkan rancangan pelancongan luar bandar yang komprehensif kepada pihak Kementerian Ekonomi bagi menyelaraskan strategi untuk impak maksimum.


Dengan tumpuan terhadap memupuk amalan lestari, beliau berkata sebarang inisiatif kerjasama dengan Kementerian bertujuan mewujudkan situasi menang-menang dengan mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab sambil menambah baik landskap sosio-ekonomi di negeri ini.


Dalam lawatan itu, Hanifah turut meninjau progres pembinaan jambatan yang akan memberi manfaat kepada 3,000 pendudul dari beberapa kampung setelah siap.

Comments


bottom of page