top of page
  • Wartawan Nabalu News

STEM: Kadar penglibatan pelajar di Sabah hanya 27 Peratus - KM Hajiji


24 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kadar penglibatan pelajar Sabah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membimbangkan.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus.


"Ianya masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran sains dan 40 aliran sastera atau 60:40.


"Kadar penglibatan pelajar dalam bidang STEM terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini membimbangkan.


"Sehubungan itu, satu pelan tindakan bersepadu perlu diambil bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil aliran Sains menjelang 2025.


“Saya berharap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Sains Sabah 2023 di Tanjung Aru.


Menurut beliau, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.


“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagai program lonjakan STEM melibatkan guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.


“Seperti yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri serta negara.


“Sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,” jelasnya.


Pada majlis tersebut Hajiji turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi lima kategori anugerah sains iaitu Anugerah Saintis Sabah kepada Prof Ir. Dr Rosalam Sarbatly, Anugerah Teknologis Sabah kepada Prof Madya Dr. Jidon Janaun, Anugerah Inovator Sabah, Ag. Muhammad Sagaf Abu Bakar serta Anugerah Khas Juri Sekolah Menengah, SM St Michael Penampang dan Anugerah Khas Juri Sekolah Rendah, SK Kampung Enam Nabawan.


Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Datuk Arthur Joseph Kurup, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong.



bottom of page