top of page

Struktur Gaji Jurutera Perlu Penilaian Semula - Fadillah

  • nabalunews
  • Sep 20, 2024
  • 2 min read

20 September 2024


KUALA LUMPUR: Struktur imbuhan dan gaji jurutera di Malaysia perlu dikaji semula secara menyeluruh untuk memastikan sektor kejuruteraan menjadi lebih menarik kepada golongan pelajar pengajian tinggi dalam usaha menangani isu kekurangan jurutera di negara ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan bahawa nisbah jurutera kepada penduduk di Malaysia kini berada pada tahap 1:170, jauh di belakang negara maju yang mencatatkan nisbah 1:100 yang mencerminkan keperluan mendesak untuk merangka strategi yang lebih berkesan bagi menarik minat lebih ramai pelajar menceburi bidang kejuruteraan.


Fadillah turut menekankan bahawa antara isu utama yang dihadapi oleh jurutera muda di Malaysia adalah kadar gaji permulaan yang rendah. Beliau merujuk kepada laporan yang menunjukkan 35 peratus jurutera muda berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, satu angka yang dianggap tidak setimpal dengan kelayakan dan tanggungjawab mereka.


"Semasa kita menganalisis punca di sebalik perbezaan ini, kita mesti menilai semula struktur gaji untuk menarik lebih ramai pelajar mengikuti kursus kejuruteraan," katanya.


Fadillah berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Pameran Kejuruteraan dan Persidangan Malaysia (ENGINEER) dan Pameran Penyaman Udara, Penyejukan dan Pengudaraan Malaysia (MARVEX) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.


Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Nor Hisham Mohammad, Presiden Persatuan Penyejukan dan Penyaman Udara Malaysia (MACRA) Peter Tan Chin Wah, Presiden C.I.S Datuk Vincent Lim dan Presiden Institut Jurutera Malaysia (IEM) Prof Dr Jeffrey Chiang Choong Luin.


Acara empat hari itu yang bermula semalam merupakan kerjasama strategik antara IEM, MACRA dan C.I.S, mengetengahkan isu berkaitan teknologi mekanikal, elektrikal dan bilik bersih terkini yang amat penting untuk masa depan perindustrian dan ekonomi Malaysia.


Fadillah berkata Malaysia perlu menghasilkan lebih ramai bakat kejuruteraan untuk memenuhi permintaan industri dan memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi memandangkan profesion itu penting dalam memajukan lagi bidang sains gunaan yang secara langsung memberikan impak kepada masa depan industri seperti pembinaan dan pembuatan.


"Peranan jurutera adalah sangat mustahak, mereka bukan sahaja penyelesai masalah tetapi pemangkin inovasi, yang amat penting untuk kepesatan dan dinamik ekonomi kita," katanya.


Fadillah berkata perjuangan negara untuk mencapai matlamat pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berdepan cabaran apabila hanya 45 peratus pelajar Malaysia mengikuti bidang berkaitan STEM, justeru gagal mencapai sasaran 60 peratus yang ditetapkan oleh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Bagi menangani isu itu, beliau berkata kerajaan menjalankan usaha berterusan mempromosikan STEM menerusi Minggu Techlympics dan Sains Kebangsaan, yang bertujuan memupuk minat dalam sains dan teknologi menjelang 2030.


Fadillah juga mengetengahkan peranan negara yang semakin ketara dalam pasaran pusat data, menyatakan bahawa Malaysia akan menjadi hab pusat data ketiga terbesar di Asia, di belakang Jepun dan India.


“Lokasi strategik, dasar kerajaan yang menggalakkan dan kos yang kompetitif untuk tanah dan utiliti menjadikan Malaysia destinasi menarik untuk pusat data, diiktiraf sebagai pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page