Subsidi ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Subsidi ayam dan telur diteruskan mulai 1 Julai


10 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia Madani akan meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur kepada rakyat mulai 1 Julai 2023.


Keputusan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).


Menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian pada Jumaat, eputusan terkini untuk meneruskan subsidi dan kawalan harga ayam dan telur adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


“Setelah mengambil kira semua aspek termasuk memastikan industri ayam dan telur kekal mampan dan kebajikan rakyat terus terbela, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah bersetuju dengan cadangan KPKM dan KPDN,” kata kenyataan itu.


Sebelum ini, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Februari yang lalu membuat keputusan untuk meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2023.


Namun, pada 5 Jun yang lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa tiada lagi subsidi ayam dan telur daripada kerajaan bermula 1 Julai depan.


Beliau berkata penamatan tersebut membolehkan KPDN menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun berbanding harga siling runcit ketika ini.


Jelas beliau, bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan, kementeriannya akan melaksanakan mekanisme pemulihan bertahap.


Ia termasuk memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging gidup, ayam bulat, membenarkan pengimportan ayam dan telur daripada pelbagai negara sumber yang diiktiraf termasuk Thailand, China, Brazil, Denmark dan Ukraine.


bottom of page