top of page
  • Wartawan Nabalu News

Subsidi, insentif bersasar antara cadangan bantu petani terjejas



16 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar kepada golongan petani di negara ini yang terkesan kenaikan mendadak harga baja dan racun.


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Ronald Kiandee berkata, kenaikan mendadak itu disebabkan bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan perminataan berterusan daripada petani.


Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) prihatin terhadap isu kenaikan kos input pertanian khasnya baja dan racun makhluk perosak yang berlaku semenjak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.


“Kebanyakan baja dan racun yang digunakan oleh petani dihasilkan daripada bahan mentah yang diimport daripada negara luar seperti unsur nitrogen, fosfat (phosphate) dan kalium (potassium).


“Dalam hal ini, MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Berkenaan Isu Kenaikan Harga Baja dan Racun.


“Ini adalah usaha bersepadu untuk meneliti cadangan tindakan dan kaedah penyelesaian serta langkah-langkah lain dalam membantu petani dan pengusaha kecil yang berhadapan dengan isu kenaikan harga baja dan racun secara mendadak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Ronald berkata, pada 10 November 2021, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama diadakan melibatkan pihak berkepentingan termasuk wakil Kementerian dan agensi serta pemain-pemain industri seperti the

Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA), Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur-Sayuran Malaysia dan Persatuan Pekebun Buah-buahan Malaysia (MFFA).


Beliau berkata, berdasarkan perbincangan dan sesi libat urus yang diadakan dengan pihak berkepentingan, antara punca yang telah dikenalpasti berhubung isu ini adalah perubahan polisi daripada negara pengeksport, kenaikan kos bahan mentah, gangguan logistik serta spekulasi pasaran.


“Apabila bekalan baja dan racun berkurangan di pasaran dengan permintaan sentiasa berterusan daripada petani, maka peningkatan harga juga berlaku di sepanjang rantaian pembekalan produk tersebut,” katanya.


Katanya lagi, beberapa cadangan penyelesaian telah diangkat oleh MAFI dan KPDNHEP secara bersama untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 12 November lalu dengan memberi penekanan supaya kesan pelaksanaan mana-mana inisiatif, intervensi dan program kelak dapat dirasai oleh rakyat secara berpanjangan.


“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan untuk menangani isu ini termasuk melalui pelaksanaan subsidi atau insentif bersasar kepada golongan petani yang terkesan.


“MAFI dan KPDNHEP sentiasa peka dengan kenaikan harga baja dan racun bagi memastikan produktiviti pengeluaran tidak terjejas dan bekalan sentiasa mencukupi dengan harga yang stabil dan berpatutan

Comments


bottom of page