top of page

Sumbangan CSR YBR Ringankan Beban 237 Murid SK Maringgan dan SK Manggis Pitas

  • nabalunews
  • Mar 14
  • 2 min read

14 Mac 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KUDAT: Seramai 237 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Maringgan dan SK Manggis Pitas menerima manfaat menerusi Program Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR), pada 11 Mac 2025 yang lalu.


Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) YBR dalam membantu pelajar yang memerlukan.


Sumbangan berupa beg sekolah dan bantuan tunai disampaikan oleh Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang kepada murid-murid berkenaan.

Program ini turut diselaraskan oleh Junsim Rumunzing, Pengerusi Koperasi Kraftangan Kampung Sinukab Kanibongan Berhad, serta disaksikan oleh Guru Besar SK Maringgan, Cikgu Noris Marlin, dan Guru Besar SK Manggis, Cikgu Aslly Anak Randang.


Kedua-dua guru besar merakamkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan YBR dalam membantu murid di sekolah mereka.


Menurut mereka, ini adalah kali pertama sekolah-sekolah tersebut menerima bantuan sebegini, dan ia amat bermakna bagi para pelajar serta keluarga mereka.


“Kami amat berterima kasih kepada Yayasan Bank Rakyat kerana memilih sekolah kami untuk menerima bantuan ini. Ia sangat membantu dalam meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan awal persekolahan,” kata Noris.


Aslly turut menyatakan bahawa sumbangan ini bukan sahaja memberikan sokongan kewangan tetapi juga menjadi motivasi kepada murid-murid untuk terus berusaha dalam pelajaran mereka.


Majlis penyampaian bantuan ini turut dihadiri oleh beberapa pemimpin tempatan yang memberikan sokongan penuh kepada inisiatif YBR. Antara yang hadir ialah Mohd. Nizam Chin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Pitas, Renald Saimon, Pemimpin Kemajuan Masyarakat Bengkoka, serta Watson Warison, Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahli Parlimen Kudat.


Kehadiran mereka menunjukkan kerjasama erat antara sektor perbankan, pendidikan, dan kepimpinan komuniti dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang sama dalam pendidikan.


Program CSR seperti ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YBR dalam menyokong pendidikan di Malaysia. Pengerusi YBR, menyatakan bahawa pihaknya akan terus mengenal pasti sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan bagi memastikan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan mendapat sokongan sewajarnya.


"Kami percaya bahawa pendidikan adalah asas kejayaan dan setiap anak berhak mendapat permulaan yang baik dalam kehidupan mereka. YBR akan terus berusaha membantu mereka yang memerlukan, khususnya dalam menyediakan keperluan asas pendidikan," katanya.


Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih banyak organisasi akan tampil membantu sekolah-sekolah luar bandar dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk generasi masa depan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page