Surat kuasa laksana naiktaraf Tamu Donggongon telah dberi kepada JKR Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Surat kuasa laksana naiktaraf Tamu Donggongon telah dberi kepada JKR Sabah - Ewon

13 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, surat kuasa untuk melaksanakan penaiktarafan Tamu Donggongon telah diberikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ketika ini pihak JKR melantik juruperunding untuk membuat rekabentuk tamu berkenaan.


“Saya difahamkan dalam tempoh enam bulan rekabentuk itu dijangka siap tetapi saya minta supaya tempoh itu dipendekkan kepada tiga bulan supaya proses perolehan itu selesai sebelum 18 November tahun ini.


“Ini kerana pada 18 November, kita akan mengadakan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan di Penampang yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Tamu Donggongon dan SMK Kipovo, di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Pengarah unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Ruji Ubi, Setiausaha Persekutuan Sabah Dato’ Makhzan Mahyuddin, Adun Kapayan Jannie Lasimbang, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan serta pemimpin-pemimpin setempat.


Ewon berkata, lawatan di Tamu Donggongon antaranya untuk melihat keperluan menyegerakan penaiktarafan tamu itu yang tertangguh sejak sekian lama.


“Pihak ICU JPM telah memaklumkan saya bahawa surat serah kuasa telah diberikan kepada kerajaan negeri (JKR Sabah) untuk melaksanakan projek itu,” katanya.


Beliau turut melawat cadangan tapak tamu sementara di Donggongon berhampiran Stesen Petronas kawasan itu untuk kegunaan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan sementara menunggu penaiktarafan Tamu Donggonogn siap sepenuhnya.


“Dalam masa yang sama kita juga telah meninjau salah satu tapak cadangan untuk tamu sementara bagi penjaja dan peniaga kecil di Tamu Donggongon,” katanya.


Ewon berkata, beliau akan memohon sejumlah peruntukan daripada Perdana Menteri untuk menyediakan beberapa kemudahan yang diperlukan di tapak sementara penjaja peniaga kecil.


bottom of page