Suspek keganasan rumah tangga diberkas polis
- nabalunews
- Jun 6
- 1 min read

6 June 2025
TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki melakukan keganasan rumah tangga dalam kejadian di parkir kereta sebuah premis hiburan di Kubota Square, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 36 tahun yang juga merupakan bekas suami kepada mangsa ditahan di sebuah taman perumahan di Jalan Bahagia sekitar jam 12 tengah hari.
Katanya, tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau, susulan laporan dibuat oleh mangsa yang turut mengalami kecederaan di muka dan tubuhnya akibat dipukul dengan tangan.
Jasmin berkata, kejadian pukul itu berlaku sekitar jam 4.50 pagi apabila suspek yang bekerja sebagai pengurus hotel datang ke tempat kerja bekas isterinya di pusat hiburan berkenaan.
“Kejadian itu dikatakan berpunca daripada bekas suami mangsa hendak berbaik semula dengannya memandangkan mereka mempunyai anak, namun mangsa enggan.
“Bekas suami mangsa juga dikatakan selalu memukul wanita terbabit sebelum laporan polis dibuat,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, pemeriksaan awal mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 5(1)(a)(ii) Ordinan Hiburan Awam.
Bagi kes terbaru itu pula, katanya, disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.
Comentários