top of page
nabalunews

Syarikat Sabah nukti kemampuan raih kontrak utama OGSE




22 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Beberapa syarikat tempatan dari Sabah mencatat pencapaian bersejarah dalam industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) apabila berjaya memperoleh kontrak utama yang bernilai besar.


Kejayaan ini membuktikan kemampuan syarikat tempatan dalam bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa, selain menjadi bukti peningkatan kapasiti kejuruteraan dan perkhidmatan teknikal di Sabah.


Menteri Kewangan Sabah yang juga Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam kenyataannya berkata, kontrak-kontrak tersebut merangkumi pelbagai bidang utama seperti kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pelaksanaan, penyelenggaraan, serta pengubahsuaian infrastruktur minyak dan gas.


Selain itu, kontrak itu juga merangkumi kerja-kerja penyelenggaraan pemulihan, perkhidmatan telaga bersepadu, logistik pihak ketiga, dan pembekalan kapal laut.


Beberapa syarikat tempatan turut berjaya menembusi kategori pekerjaan yang pertama kali diberikan kepada pemain industri tempatan, menunjukkan keyakinan pihak industri terhadap kebolehan syarikat Sabah.


Pemberian kontrak baharu berkenaan dijangka menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan untuk syarikat Sabah melibatkan pelbagai bidang kemahiran dan disiplin kerja.


Di bawah pentadbiran kerajaan negeri, kejayaan ini didorong oleh kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan teknikal yang berpengalaman serta komitmen untuk mencipta pekerjaan tempatan.


Selain itu, ia turut memberi tumpuan untuk menerokai bidang baharu dalam perkhidmatan OGSE tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti dan jadual projek .


Selepas Perjanjian Kerjasama Komersial di antara kerajaan negeri dan PETRONAS pada Disember 2021, nilai kontrak tempatan dalam OGSE di Sabah meningkat daripada RM341 juta kepada RM780 juta dan jumlah kontraktor tempatan daripada 263 kepada 475 pada 2023.


Masidi berkata pencapaian itu sememangnya sesuatu yang luar biasa untuk Sabah kerana berjaya membuktikan syarikat tempatan mampu bersaing dalam liga besar OGSE.


"Saya berharap trend peningkatan penyertaan tempatan dalam OGSE akan terus meningkat dan lebih ramai rakyat Sabah terus merebut peluang dan memanfaatkan industri minyak dan gas,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy Terry Biusing berkata, syarikat Sabah kini memperoleh bahagian yang lebih besar daripada kontrak OGSE tempatan di Sabah.


"Unjuran hasil untuk syarikat OGSE Sabah dijangka melebihi RM2 bilion pada 2024, dengan lebih 60 syarikat meraih antara RM1 juta hingga lebih RM300 juta hasil sehingga Ogos 2024," katanya.

Bình luận


bottom of page