top of page
nabalunews

SYARIKAT TELEKOMUNIKASI SUMBANG RM6 JUTA KEPADA BARISAN HADAPAN, RAKYAT TERKESAN COVID-19


Penyerahan sumbangan. - Gambar oleh MCMC

5 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat telekomunikasi menghulurkan bantuan kewangan RM6 juta kepada barisan hadapan dan rakyat tempatan yang terkesan teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sumbangan itu dihulurkan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) atau GDRN yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Berhad dan Telekom Malaysia (TM).

"Pihak GDRN dan Malaysian Coordination & Action Hub (MATCH) akan bertindak menyelaraskan sokongan oleh pihak industri telekomunikasi bagi membantu kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan kali kedua syarikat-syarikat telekomunikasi - Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), TM, TIME dotCom Berhad (TIME) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) - menghulurkan sumbangan kepada GDRN menerusi penganjuran kempen ‘To Malaysia With Love’.

Majlis penyerahan sumbangan disampaikan oleh semua ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur.

Selain sumbangan wang melalui GDRN, kebanyakan syarikat telekomunikasi turut melanjutkan penawaran Internet percuma sebanyak 1GB setiap hari dan ia terpakai untuk data mudah alih bagi tujuan pembelajaran dan produktiviti di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sehingga hujung tahun ini di samping memperkenalkan pakej-pakej khas.

Bagi pakej khas, Celcom bekerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) sejak April lalu menyalurkan bantuan seperti bekalan makanan kepada golongan B40 yang menetap di kawasan terkesan teruk akibat COVID-19 di Sabah.

Sebagai menyokong keperluan kesalinghubungan, Celcom juga menyediakan pelan Internet bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pek SIM prabayar XPAX di pusat kuarantin seluruh negara.

Digi pula memperkenalkan Pakej JENDELA Belia Sabah merangkumi produk Digital Prepaid NEXT yang menawarkan akses Internet tanpa had dan panggilan kepada semua rangkaian.

Maxis bekerjasama dengan KKM menyediakan perkhidmatan kesalinghubungan bagi hospital serta pihak berkuasa dan berkolaborasi bersama kerajaan negeri memberikan sokongan komunikasi terutamanya kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Sementara itu, U Mobile berkerjasama dengan sebuah platform pendanaan awam iaitu Hanafundme, menerusi inisiatif itu, syarikat itu berkolaborasi dengan Huawei menaja sebanyak 60 peranti mudah alih lengkap dengan pelan pascabayar GX68 untuk tempoh selama setahun bagi membantu golongan pelajar sekolah Sabah agar tidak ketinggalan dalam sesi pembelajarannya.

Dalam perkembangan sama, TM menyediakan sambungan perkhidmatan jalur lebar 100Mbps di Hospital Medan ATM Tawau dan 800Mbps di pusat kuarantin dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria, Semporna, Sabah.

Turut dihulurkan ialah sumbangan bernilai lebih RM5.8 juta untuk usaha-usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) di hospital, pusat kuarantin, pembelian bekalan perubatan dan keperluan asas.

Dana yang disumbangkan kepada GDRN oleh TIME dotCom pula digunakan untuk membeli bekalan perubatan, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan ventilator. – Bernama

Comments


bottom of page