top of page

Taklimat Awal Program PANTAS Libatkan Tiga Kampung di Kota Belud

  • nabalunews
  • May 20
  • 2 min read

ree

20 Mei 2025


KOTA BELUD: Seramai lebih 100 penduduk hadir dalam sesi taklimat awal Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang diadakan di Balai Raya Kampung Tinata semalam.


Program ini melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Gansurai, Tinata dan Podos Kota Belud.


Taklimat disampaikan oleh Penolong Juruukur Daerah Kota Belud, Pool Rumanti, yang memberi penerangan menyeluruh berhubung pelaksanaan penyukatan tanah yang akan dilaksanakan di kawasan terlibat.


Program ini bertujuan untuk mempercepat proses pengesahan hak milik tanah bagi penduduk Anak Negeri, selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan hak pemilikan tanah tradisi.


Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pemaju Mukim dari Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Anichlose Kesimin, yang menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan kesinambungan kepada program yang telah dilancarkan sebelum ini oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Menurut Anichlose, program ini terbukti memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar, terutama dalam menyelesaikan isu pemilikan dan sempadan tanah yang telah berlarutan sejak sekian lama.


Beliau memaklumkan bahawa Kampung Kiau telahpun menyempurnakan proses penyukatannya, manakala beberapa kampung lain seperti Sayap, Terintiden, Tambatuon dan Melangkap kini sedang melalui fasa pelaksanaan.


“Pelaksanaan program ini amat penting untuk memastikan tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduk didaftarkan secara sah dan teratur. Ini bukan sahaja melindungi hak milik, tetapi juga membuka peluang kepada pembangunan sosioekonomi secara lebih terancang,” jelas beliau.


Turut memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program ini ialah Ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari ketiga-tiga kampung terlibat. Kehadiran mereka bersama penduduk kampung memperlihatkan kesungguhan komuniti setempat dalam memastikan kejayaan pelaksanaan PANTAS.


Program ini dijangka akan diteruskan secara berperingkat ke kawasan-kawasan lain di seluruh negeri Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mempercepatkan pengiktirafan hak milik tanah kepada golongan Anak Negeri Sabah secara menyeluruh.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page