top of page
  • Wartawan Nabalu News

Taklimat khas isu tuntutan Sulu kepada semua Ahli Parlimen, Adun Sabah minggu depan: Azalina



23 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk SrI Azalina Othman Said berkata, beliau akan memberikan taklimat khas mengenai perkembangan isu tuntutan Sulu kepada semua Ahli Parlimen Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah pada minggu depan.


“Saya akan bagi taklimat khas kepada semua Ahli Parlimen Sabah, Sarawak dan Semenanjung pada Selesa minggu depan.


“Saya juga akan ke Sabah pada Rabu untuk bertemu dengan semua Adun dan menteri (Sabah), sempena 10 tahun tragedi Lahad Datu,” katanya dalam penggulungan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Azalina berkata, kerajaan menyedari kepentingan mewujudkan kempen awam supaya rakyat negara ini mengetahui bahawa hak negara sedang diancam oleh lapan individu yang mengaku keturunan dan adik-beradik Sultan Sulu yang mangkat.


Beliau berkata, minggu lepas sebuah dokumentari yang diterbitkan sebuah stesen televisyen di Singapura menerbitkan tragedi di Lahad Datu yang mengikatnya kepada pewujudan arbitrasi komersial oleh lapan individu berkenaan yang mengaku sebagai rakyat Filipina.


“Ini isu kedaulatan, kalau betul isu kedaulatan, kita berlawan dalam mahkamah tentang kedaulatan, bukan dalam mahkamah arbitasi komersil.


“Jadi, menganggu gugat harta dan aset negara kerana mereka nak menakutkan rakyat Malaysia.


“Tetapi ingat, apa yang penting di sini ialah mereka melihat, kalau Malaysia tidak bersatu, pergolakan politik dan kerajaan yang tidak stabil, mereka akan menyerang kita.


“Itu sebabnya kita kena terima titah Tuanku. Kita mesti mewujudkan kepada rakyat bahawa kita akan mentadbir dan membawa kebaikan kepada negara,” katanya.


Azalina berkata, sekiranya kerajaan tidak stabil, pihak luar akan mengancam aset negara ini, bukan sahaja Petronas tetapi banyak lagi aset negara lain sedang dipantau pihak luar yang mengambil kesempatan dalam ketidakstabilan negara ini.

bottom of page