top of page

Taktik pengedar air ketum simpan di rumah gagal

  • nabalunews
  • 4 days ago
  • 2 min read

Lelaki tempatan yang disyaki mengedar air ketum ditahan di rumahnya di kawasan PPR Taman Sri Semarak.
Lelaki tempatan yang disyaki mengedar air ketum ditahan di rumahnya di kawasan PPR Taman Sri Semarak.

10 Jun 2025

TAWAU: Taktik seorang lelaki tempatan menyimpan dan mengedar air ketum dari rumah, gagal apabila kegiatannya berjaya dikesan dalam serbuan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tawau, semalam.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang berusia 30-an ditahan kira-kira jam 10.30 pagi ketika sedang berehat di rumah tamu rumahnya di kawasan PPR Taman Sri Semarak.


Menurutnya, polis menemukan sejumlah 21 botol plastik lutsinar 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disembunyikan dalam dua peti sejuk berasingan di ruang dapur.

“Siasatan awal mendapati kandungan cecair tersebut dipercayai berisi 31.2 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM350,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, suspek ditahan bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.


Jasmin berkata, semasa siasatan awal dijalankan, suspek mengaku merebus sendiri air ketum itu sebelum menjualnya kepada penagih tempatan pada harga RM20 sebotol.


Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, manakala semakan mendapati itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.


Dalam kes lain, sepasukan polis BSJN turut menangkap seorang pemuda tempatan, 20, dalam operasi di kawasan Jalan Takada selepas dilihat mencurigakan pada jam 3.15 petang, semalam.


“Suspek kemudiannya menyerahkan sendiri syabu seberat 0.90 gram bernilai RM100 dari poket hadapan seluarnya ketika pemeriksaan dijalankan,”katanya.


Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah dan semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page