top of page
nabalunews

Tamu Desa Lasau Minunsud mula beroperasi sepenuhnya

6 November 2024


KOTA BELUD: Tamu Desa Kampung Lasau Minunsud di Kadamaian, Kota Belud, hari ini secara rasmi beroperasi sepenuhnya dan akan menjadi platform urusan jual beli mingguan bagi peniaga tempatan pada setiap hari Rabu.


Pembukaan tamu ini dengan suasana yang lebih selesa dan teratur, menyediakan ruang yang kondusif untuk peniaga dan pengunjung.


Tinjauan Wartawan Nabalu News bagi menyaksikan operasi hari pertama Tamu Desa Kampung Lasau Minunsud mendapati suasana tamu desa berjalan dengan lancar dan penuh keterujaan.


Menurut Pengerusi Tamu Desa Kampung Lasau Minunsud, Jenipa Aton, seramai 80 peniaga kini berpeluang menikmati kemudahan yang jauh lebih baik.


Katanya tapak tamu desa ini amat memberi manfaat khususnya ketika hujan, kerana para peniaga kini tidak lagi perlu berdepan dengan masalah tanah berlumpur dan gangguan akibat cuaca yang tidak menentu.


Para peniaga merakamkan penghargaan dan bersyukur kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, atas usaha beliau dalam merealisasikan pembinaan tamu ini.


Lily Adam, seorang peniaga di sini, menyatakan penghargaan beliau terhadap inisiatif Datuk Ewon, yang dilihat memberi nafas baharu kepada para peniaga kecil.


Manakala Rosmin Chaly Basinau, seorang lagi peniaga, mengimbau betapa sukarnya berniaga dahulu semasa hujan lebat.


Losimih Aton, seorang peniaga makanan, turut memuji usaha Ewon yang sentiasa memperjuangkan keperluan rakyat, meskipun sudah ramai pemimpin yang silih berganti.


Vivi Lijah Binjamin, seorang pengunjung, menyatakan rasa gembira beliau dengan keadaan tamu yang kini lebih bersih dan selesa untuk dikunjungi dan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung, berbanding sebelum ini.


Turut hadir meninjau hari pertama operasi Tamu Desa Kampung Lasau Minunsud ialah Pemaju Masyarakat N11 Kadamaian, Clarence Somuil yang juga penduduk Kampung Lasau Minunsud.


Beliau merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangannya.


Clarence turut melahirkan rasa bangga kerana Kadamaian mempunyai seorang pemimpin yang komited dan prihatin terhadap kesejahteraan penduduk setempat.


Pembukaan Tamu Desa Kampung Lasau Minunsud ini bukan sahaja menyediakan ruang niaga yang lebih selesa dan tempat berniaga kepada usahawan tempatan, tetapi juga mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap pembangunan dan kemajuan masyarakat di kawasan luar bandar.

Comments


bottom of page