Tamu Desa Pinolobuh beri keceriaan kepada peniaga dan pengunjung
- nabalunews
- Nov 13, 2024
- 2 min read

13 November 2024
KOTA BELUD: Kemudahan Tamu Desa Pinolobuh di Kadamaian kini telah siap sepenuhnya dan memberikan keselesaan serta peluang kepada para penjaja dan peniaga kecil untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.
Para peniaga di sini dengan penuh kesyukuran ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, yang telah menunjukkan komitmen dan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan serta keperluan mereka.
Beberapa peniaga yang kami temui di Tamu Desa Pinolobuh berkata komitmen Ewon bukan sahaja terhad kepada penyediaan kemudahan, namun beliau juga kerap turun padang untuk mendengar suara peniaga serta memahami cabaran yang mereka hadapi.
Menurut seorang peniaga, Nurul Syafiqah dari Kampung Pinolobuh yang berniaga makanan, minuman, dan kuih-muih, kehadiran Ewon secara konsisten turun padang mendengar sendiri keperluan peniaga menjadi inspirasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih dan mencapai kejayaan dalam perniagaan.

Seorang lagi peniaga, Jusline Zeno berkata dengan adanya bangunan Tamu Desa yang baru ini, para peniaga dapat berniaga dalam suasana yang lebih selesa, selamat, dan teratur.
"Kemudahan yang disediakan adalah sangat sesuai untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil, dan sekaligus membuka ruang kepada lebih ramai pengunjung dan pelanggan untuk hadir ke Tamu Desa Pinolobuh," katanya.
Kemudahan ini bukan sahaja membantu dari segi keselesaan para peniaga, tetapi juga menggalakkan pembangunan ekonomi tempatan serta mengangkat potensi Kadamaian sebagai destinasi perniagaan desa dan pelancongan.
Seorang lagi peniaga, Mirwanna Minsin mengharapkan agar lebih ramai peniaga dan pengunjung datang ke Tamu Desa Tradisi Pinolubuh.
Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan dengan ruang niaga yang lebih luas dan dikenali ramai.
"Kerjasama yang erat antara YB Datuk Ewon Benedick dan komuniti tempatan mencerminkan keazaman beliau untuk membawa perubahan positif, dan sokongan ini akan terus memberi impak besar kepada kehidupan peniaga kecil di Kadamaian," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pinolobuh, Jalni Mison yang berniaga hasil pertanian dari kebun sendiri sejak 2020 berkata bercadang untuk terus memperkenalkan jualan sayur-sayuran dan bahan mentah segar dari kebun tempatan kepada generasi akan datang untuk memastikan kesinambungan sumber asli.
"Dengan siapnya kemudahan Tamu Desa Pinolobu, Kadamaian, kaminmengucapkan terima kasih kepada YB ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, atas sokongan dan keprihatinan beliau yang berterusan terhadap kami para peniaga kecil di sini.
"Kehadiran YB sentiasa memberi inspirasi dan kekuatan buat kami untuk terus maju. YB telah banyak membantu kami, terutamanya dengan menyediakan bangunan Tamu Desa yang selesa dan sesuai untuk menjalankan perniagaan.
"Terima kasih sekali lagi, YB. Semoga YB terus menjadi pemimpin yang berdedikasi dan berkhidmat untuk rakyat di Kadamaian," katanya.
Untuk masa hadapan, peniaga dan penduduk Kampung Pinolobuh berharap agar infrastruktur dan fasiliti di Kampung Pinolubu dipertingkatkan bagi kemudahan penduduk serta menarik lebih ramai pengunjung.
Dengan konsep tamu berasaskan pelancongan di bawah Koperasi Komuniti, Kampung Pinolobuh, penduduk mengimpikan Pinolobuh menjadi destinasi yang berkembang pesat.
"Pemimpin seperti YB Ewon diharapkan terus memberikan sokongan dan inspirasi, menuju visi yang lebih maju dan makmur untuk Kadamaian menjelang 2035," katanya.
Kommentare