TAMU MINGGUAN JALAN GAYA MERIAH, LEBIH 80 PERATUS PENIAGA BEROPERASI
- Wartawan Nabalu News
- Jan 10, 2021
- 2 min read

10 Jan 2021
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
KOTA KINABALU : Tamu Mingguan di Jalan Gaya yang telah beroperasi dan dibuka hampir lebih sebulan sejak Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini dilonggarkan baru-baru ini memberi sedikit kelegaan kepada golongan peniaga.
Tinjauan Nabalu News di Tamu Mingguan Jalan Gaya yang dibuka setiap Ahad itu mendapati orang ramai turut mula mengunjungi tamu berkenaan dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.
Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja Jalan Gaya Kota Kinabalu Lee Chee Kong berkata, sehingga kini lebih 250 gerai jualan telah beroperasi bermula 13 Disember lalu sebaik sahaja kerajaan membenarkan aktiviti perniagaan dijalankan meskipun dalam tempoh PKPB.

“Sehingga kini sudah masuk minggu kelima kami (Tamu Jalan Gaya) beroperasi dan saya lihat lebih 80 peratus peniaga sudah mula beroperasi.
“Selain itu, kami juga turut memastikan semua peniaga dan pelawat sentiasa mematuhi SOP ketika berada di Tamu Jalan Gaya. Jika ada peniaga yang gagal patuh, kami kenakan denda sebanyak RM10,” katanya ketika ditemui semasa membuat pemantauan SOP di Tamu Jalan Gaya hari ini.
Peniaga air Faridah Lemeng,32, berkata pihaknya kini berupaya menarik nafas lega dengan kebenaran yang diberikan dan membolehkan mereka kembali menambah sumber pendapatan selepas terjejas dengan Covid-19 sebelum ini.

“Alhamdulilah, kini saya dan peniaga-peniaga lain boleh berniaga meskipun dalam tempoh PKPB dan sudah pasti semua yang datang sini akan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Selepas hampir lebih sebulan kami berniaga disini, pengunjung mula ramai yang datang berbanding pada minggu pertama dibuka dulu, pada ketika itu suasana dilihat agak ‘suram’, ”katanya.
Bagi pengunjung, Yazley Jamjin,36, turut berharap agar semua peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke Tamu Jalan Gaya dapat sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Ketika berada ditamu ini, kita perlu menjarakkan jarak antara individu lain bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19,”katanya.

Tamu Mingguan Jalan Gaya yang cukup terkenal dengan kunjungan pelancong dalam dan luar negara itu beroperasi seawal jam 6 pagi.















Comments