Wartawan Nabalu News
TANAH RUNTUH: KAWASAN LETAK KERETA NATIONAL PARK AKAN DIBAIKI SEGERA
20 Jan 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Kerosakan akibat tanah runtuh di kawasan letak kereta National Park Kundasang dekat sini akan dibaiki dengan kadar segera.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini kerana kawasan berkenaan berhampiran jalan laluan utama pengguna dari Kota Kinabalu-Tamparuli - Ranau - Sandakan.
"Kawasan tanah runtuh membabitkan tempat letak kereta National Park turut menjejaskan jalan utama Tamparuli-Ranau. Kita mahu kerja-kerja pembaikian dilaksanakan secepat mungkin," katanya selepas meninjau kawasan itu, di sini, hari ini.
Runtuhan itu membabitkan kawasan sepanjang 150 meter dengan lebar 100 meter.
Bagaimanapun Joachim berkata, kejadian tanah runtuh itu tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Saya bersyukur kerana, tidak ada kemalangan jiwa berlaku. Jalan raya juga masih boleh dilalui kenderaan,” katanya.
Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang turut mengingatkan penduduk di Kundasang supaya berhati-hati pada musim hujan kerana kebarangkalian berlaku tanah runtuh adalah tinggi.
Comments