Tarian unik Rumah Madani, Jiwa Merdeka sempena Hari Malaysia
14 September 2024
KOTA KINABALU: Tarian unik bertemakan ‘Rumah Madani, Jiwa Merdeka’ yang mempunyai lima segmen akan dipersembahkan sempena Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka pada 16 September ini.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata persembahan khas itu merangkumi pelbagai aspek kejayaan Malaysia dan diolah melibatkan 100 artis budaya dan enam penyanyi tempatan, lapor Info X.
“Segmen pertama iaitu Negaraku menggambarkan semangat patriotik rakyat Malaysia dan juga kebanggaan sebagai penghargaan terhadap sejarah, budaya, serta warisan negara kita.
“Manakala segmen kedua memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian budaya yang memfokuskan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Bagi segmen dinamik kemajuan pula menggambarkan proses perubahan dan perkembangan yang berlaku secara berterusan dalam negara merangkumi aspek-aspek kemajuan ekonomi, sosial, politik serta teknologi,” katanya ketika ditemui di konti KupiKupi FM, pada Rabu.
Menurut Joniston, tarian khas tersebut juga mempunyai segmen transformasi negara yang memaparkan rasa bangga terhadap perubahan dan pencapaian yang telah diraih sejak kemerdekaan.
“Segmen terakhir, iaitu jiwa merdeka menggambarkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik.
“Ini melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif,” katanya.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dr Diana Dominic dan Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Siti Mariam Aziz Rashid.
Comentarios