top of page
Wartawan Nabalu News

Taufik sedia laksana tanggungjawab Ahli Parlimen Ranau, jika diberi mandat


Taufik (kiri) bersama Anwar dalam kempen di Sabah baru-baru ini.

16 November 2022


RANAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Ranau, Taufik Hj Dahlan komited untuk bekerja bersungguh-sungguh sebagai wakil rakyat di sini jika diberikan mandat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini.


“Keutamaan utama saya ialah melaksanakan tugasan sebagai Ahli Parlimen Ranau dengan baik termasuk memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan rakyat seperti infrastruktur jalan raya, kesihatan dan keharmonian rakyat.


"Kami akan menggalakkan persekitaran yang harmoni di mana setiap orang perlu berbaik-baik antara satu sama lain. Mengenali antara satu sama lain dan bertukar pendapat. Bersikap mesra antara satu sama lain," katanya.


Taufik berkata, walaupun sudah 36 tahun bekerja di belakang tabir, kepercayaan yang diberikan rakyat cukup memberi motivasi kepadanya untuk menjadi pemimpin yang membela nasib rakyat di sini.


“Semoga kita diberikan kesihatan yang baik dan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Ranau, sudah pasti saya akan melaksanakan segala amanat yang diberikan untuk saya laksanakan secepat mungkin,” katanya.


Sementara itu, Taufik berkata, rakyat di Sabah perlu sedar mengapa pilihan raya umum ini amat penting supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.


“Negara memerlukan pemimpin yang terbukti tidak rasuah, pakar ekonomi, tidak menyalahgunakan kuasa memimpin negara demi memulihkan keadaan ekonomi, politik dan sosial secara total.


“Rakyat tidak mampu lagi bertahan dengan kos sara hidup yang sangat tinggi. Harga barang naik mendadak, nilai komoditi terus jatuh, rasuah terus berleluasa, peluang pekerjaan semakin berkurangan dan banyak lagi.


“Begitu banyak masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu, sehinggakan negara hanyut kearah kemelesean ekonomi yang sangat merunsingkan” katanya.


Bagi tujuan itu, Taufik menggesa rakyat mengundi semua calon PH termasuk dirinya pada Sabtu depan kerana ia adalah satu-satunya gabungan yang boleh menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.


"Kita tidak mampu untuk melakukan kesilapan lagi kerana kehidupan rakyat hari ini semakin sukar setiap hari akibat tadbir urus yang tidak cekap oleh pentadbiran terdahulu. Buat pilihan yang tepat, dan undilah Pakatan Harapan," katanya.




Comments


bottom of page