top of page

TCA benteng semangat masyarakat Cina Tawau

  • nabalunews
  • Aug 8, 2025
  • 2 min read

Datuk Najib Tay Abdullah (ketiga dari kanan) menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Kehormat TCA daripada Presiden TCA, Henery Wong Chen Khiong (ketiga dari kiri).
Datuk Najib Tay Abdullah (ketiga dari kanan) menerima watikah pelantikan sebagai Presiden Kehormat TCA daripada Presiden TCA, Henery Wong Chen Khiong (ketiga dari kiri).

8 Ogos 2025


TAWAU: Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau atau The Federation of Chinese Associations Tawau (TCA) bukan sekadar persatuan biasa, sebaliknya merupakan benteng semangat masyarakat Cina Tawau.


Presiden Kehormat TCA yang baharu dilantik, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, persatuan itu diasaskan atas pengorbanan dan usaha gigih generasi terdahulu.


“TCA menjadi keluarga besar yang menyatukan pelbagai pertubuhan Cina di Tawau, sekaligus merupakan platform utama memelihara warisan dan perpaduan komuniti ini,”katanya.


Justeru itu, beliau yang juga Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Apas, menyifatkan pelantikan beliau itu bukan sekadar penghormatan tetapi satu amanah besar untuk digalas.


Beliau berikrar akan menggunakan kedudukannya sebagai Presiden Kehormat untuk menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan masyarakat serta membantu memperkukuhkan lagi peranan TCA.


Katanya, beliau sedia menyampaikan suara masyarakat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam memastikan setiap bantuan dapat disalurkan secara lebih langsung serta berkesan.


Najib menyatakan perkara itu pada majlis ringkas penyerahan watikah pelantikan oleh Presiden TCA, Henery Wong Chen Khiong bagi mewakili seluruh ahli jawatankuasa beliau.


Henery berkata, pihaknya melantik Najib sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar dan sokongan berterusan beliau kepada pelbagai program serta aktiviti TCA, selain peranan aktifnya dalam kerja-kerja kebajikan masyarakat.


Beliau juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) yang giat melakukan kerja-kerja kebajikan di seluruh negeri.


Sementara itu, Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa TCA penggal 2025-2027 akan berlangsung 13 Ogos depan di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hing Hwa Tawau yang dijangka bakal dihadiri Ketua Menteri sebagai tetamu kehormat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page