top of page

TEMU DUGA SISWAZAH LEPASAN UA SABAH, SARAWAK APRIL INI, BERITA BAIK: GGPUA

Wartawan Nabalu News

19 Mac 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) Sabah menyambut baik kenyataan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bahwa urusan temu duga siswazah pendidikan lepasan universiti awam (UA) kelahiran Sabah dan Sarawak untuk pengambilan tahun 2020 akan diadakan selewat-lewatnya minggu ketiga April depan.


Wakil GGPUA Sabah Chonnel George berkata, ia berita gembira bagi semua graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Universiti Awam yang sudah lama menunggu panggilan temu duga.



Bagaimanapun katanya, ada beberapa perkara yang masih membelenggu fikiran para graduan ISMP UA iaitu bilangan opsyen yang akan dipanggil untuk urusan temu duga kali ini.


"Adakah opsyen-opsyen yang tidak dipanggil sejak bertahun-tahun lamanya akan disebut kali ini?


"Bagi lambakan opsyen misalnya Pendidikan Muzik, Perdagangan dan Keusahawanan, Ekonomi, Multimedia, Fizik, Kimia, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sejarah dan opsyen-ospyen lain? Apakah solusi yang dilakar oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberikan peluang kepada graduan ini untuk berbakti di sekolah?


"Mungkin, sudah tiba masanya pihak KPM mempertimbangkan agar membuka sedikit ‘laluan’ kecil kepada opsyen-opsyen yang dianggap tidak relevan untuk berbakti di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) melalui pengambilan khas guru di Sabah dan Sarawak," katanya.



Chonnel berkata, berdasarkan laporan berita baru-baru ini ekoran penularan wabak Covid-19, kadar keciciran murid sekolah rendah semakin meningkat daripada 0.12 peratus pada 2019 ke 0.13 bagi tahun 2020.


"Berdasarkan data ini, wajarlah sekiranya sebilangan graduan ISMP UA dipertimbang untuk ditempatkan ke SK dan SJKC bagi meredakan isu ini.


"Kelayakan dari segi ikhtisas perguruan sudah ada, dan kemahiran 4M sudah sebati dalam diri. Kirimlah sahaja ke mana pun, graduan ISMP UA sudah bersedia untuk diutus," katanya.


Sehubungan itu beliau berharap, agar lebih daripada 33 opsyen yang akan dipanggil untuk urusan temu duga pada April nanti.


"Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak KPM kerana sudi mendengar isi hati para graduan ISMP UA khususnya anak kelahiran di bawah bayu dan bumi kenyalang," katanya.



Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page