- Wartawan Nabalu News
TENGKU ZAFRUL DILANTIK PENYELARAS PPN
9 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN). Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Jemaah Menteri bersetuju melantik Tengku Zafrul yang akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik. “Mesyuarat hari ini juga bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia,” menurut kenyataan itu. Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang diadakan secara sidang video itu dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini. JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan dibawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut Covid-19 secara berfasa dan sistematik, mengambil kira kehadiran varian baharu yang lebih ganas.
Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN. Katanya lagi, penglibatan kumpulan profesional, terutamanya pakar kesihatan awam dan ekonomi, dalam pengurusan pandemik Covid-19 dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul. “Kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik Covid-19. “Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif,” kata kenyataan itu.
Comments