Terdapat Keperluan Tambah Baik Undang-Undang, Jamin Keselamatan Negara Dari Pengaruh Luar - PM Anwar
- nabalunews
- Oct 1, 2024
- 2 min read

30 September 2024
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat keperluan untuk memperkukuh dan menambah baik akta berkaitan keselamatan negara. Langkah ini bertujuan untuk memastikan keselamatan negara lebih kukuh dan terlindung daripada ancaman serta pengaruh luar yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Menurut beliau, perkara tersebut akan diserahkan kepada kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan. Mereka diberi tanggungjawab untuk mengkaji serta memperkemas undang-undang sedia ada yang melibatkan keselamatan negara
"Saya serah kebijaksanaan kepada PDRM, ATM dan agensi penguat kuasa lain, sekiranya ada elemen-elemen yang harus dimasukkan, yang belum cukup kuat dalam undang-undang negara.
“.. satu hal kita tidak boleh terima adalah mengizinkan negara menjadi medan dan gelanggang bagi puak melampau," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu Perdana Menteri berkata langkah mencegah dan menangani keganasan turut dilaksanakan di peringkat antarabangsa bagi menjamin keselamatan negara masing-masing terutama daripada serangan kumpulan pengganas.
"Kita sama-sama menyokong tumpuan dan percubaan untuk memastikan wujud kerjasama yang berkesan antara negara, dan apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan, saya pasti akan memberikan sokongan ini, bahawa perlu ada kerjasama yang lebih baik dalam kalangan negara-negara ASEAN," katanya.
Anwar berkata ini penting bagi meeujudkan pendekatan yang lebih berkesan untuk memerangi keganasan, kerana pengganas hari ini menggunakan senjata dan strategi yang sangat canggih, disokong oleh pembiayaan yang ketara dan usaha intelektual.
Beliau berkata matlamat mereka adalah untuk memenangi hati dan minda bakal pengikut sambil mendatangkan kemudaratan yang besar kepada mereka yang dianggap musuh.
Malaysia sedang bersiap sedia untuk menerajui kepimpinan ASEAN, menggantikan Laos menjelang akhir 2024 dan seterusnya menganjurkan mesyuarat ASEAN sepanjang 2025.
Commentaires