"Terima Kasih Ewon. Kini Kami Selesa Berniaga Di Tamu Kadamaian Square." - Peniaga
9 November 2024
KOTA BELUD: Fasa tiga projek naik taraf Tamu Mingguan di Kadamaian Square, Taginambur, Batu 10, Kota Belud, yang melibatkan pembinaan jalan lingkaran (Ring Road), parit, serta pemasangan lampu solar, telah siap sepenuhnya bulan lalu yang menandakan satu lagi pencapaian penting dan signifikan dalam pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.
Projek naik taraf di Tamu Mingguan di Kadamaian Square ini membawa manfaat dan keselesaan yang besar kepada para penjaja dan pengunjung.
Lorna@Twinin Gilong, seorang peniaga makanan yang telah lama berniaga melalui Persekutuan Wanita SIB Taginambur di tamu ini, menyatakan setinggi ucapan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, atas usaha-usaha yang telah dilaksanakan untuk memajukan kawasan ini.
Menurut beliau, kemudahan yang disediakan kini amat membantu kelangsungan perniagaan mereka dan memberi lebih keselesaan kepada peniaga untuk menjual barangan mereka pada setiap minggu.
Seorang lagi peniaga, Daulin Pongundar, yang menjual sayur-sayuran, turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di atas usaha dan tindakan beliau dalam menyelesaikan isu parit yang dihadapi oleh para penjaja.
Sebelum ini, ketiadaan parit menyebabkan kesulitan, terutama ketika hujan.
Dengan pembinaan parit baharu, suasana di kawasan tersebut kini lebih teratur dan bersih, memberi manfaat kepada semua, baik peniaga mahupun pengunjung.
Jasni Tarindak, seorang pengunjung dari Kampung Dudar, turut meluahkan rasa kagum terhadap pembangunan yang dilaksanakan di Kadamaian Square.
Walaupun jarak perjalanan kira-kira 120 km pergi balik, beliau tidak keberatan untuk datang ke tamu ini apabila ada keperluan kerana tertarik dengan kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan.
Usaha ini adalah hasil komitmen Ewon dalam memastikan kesejahteraan rakyat di Kadamaian dan keselesaan peniaga dan pengunjung di Tamu Mingguan di Kadamaian Square, sentiasa terjaga.
Comments