Farah Salim
Testimoni Jabar Khan dedahkan Task Force Umno terlibat beri IC kepada pendatang asing: Madius
15 Julai 2022
Oleh Farah Salim
KOTA KINABALU: Keterangan dan pengakuan Jabar Khan semasa pendengaran khas oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 26 Februari 2007 mendedahkan bahawa Task Force UMNO terlibat dalam aktiviti mengurus dan mempermudahkan pemberian kad pengenalan (IC) kepada pendatang asing di Sabah.
Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau semasa Forum Perdana Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin (PTI) di Sabah (Punca dan Penyelesaian), di Palace Hotel, semalam.
“Saya tidak menuduh sesiapa dalam kenyataan saya malam ini (Forum Perdana), saya hanya mengatakan bahawa keterangan itu dibuat oleh bekas setiausaha Task Force Umno Jabar Khan, dan semua keterangan itu ada dalam handsard Parlimen yang boleh dibaca oleh semua orang,” katanya.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, beberapa ahli politik di Sabah disebut oleh Jabar Khan dalam testimoni itu.
“Apa yang menghairankan sehingga hari ini, tiada seorang pun yang disebut oleh Jabar Khan itu tampil membela diri.
“Sesiapa yang melanggar undang-undang harus diambil tindakan kerana mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa dalam pemberian IC sama ada pegawai agensi berkenaan atau pemimpin politik,” katanya.
Madius berkata, dalam keterangan Jabar Khan, sebanyak 400,000 keping kad pengenalan biru diberikan kepada orang asing dan daripada jumlah itu 82,000 orang telah dimasukkan dalam senarai pengundi dan diagih-agihkan di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
“Dia (Jabar Khan) mengatakan mula-mula objektifnya mahu daftar 80,000 orang dan semuanya akan diagih-agihkan kepada 25 kawasan DUN di Sabah untuk tujuan menang (pilihan raya) tetapi beliau mendakwa 400,000 orang asing telah diberikan kad pengenalan biru dan seterusnya disenaraikan dalam senarai pengundi.
“Selain itu, kita juga telah mendengar kesaksian daripada Hassnar Ebrahim yang membuat pengakuan terbuka di mahkamah, surat bertulis kepada MD Mutalib dan juga dalam pelbagai ceramah sebelum ini. Semua isu ini sering saya kemukakan di Parlimen tetapi tiada tindakan diambil,” katanya.
Hassnar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negerii (ISA) selama dua bulan dan kemudiannya menjalani tahanan dalam rumah selama dua tahun di Sandakan pada tahun 1998.
Madius berkata, selagi individu yang melanggar undang-undang tidak diambil tindakan masalah ini tidak akan selesai.
“Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengatakan seorang presiden parti politik tempatan Sabah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kad pengenalan.
“Bagaimana sebuah parti (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) yang tiada wakil rakyat berbuat demikian? tentu ada orang dalam yang membuat kerja ini.
“Kalau tindakan tidak diambil, ada yang dijadikan kambing hitam, dimasukkan dalam tahanan ISA kerana dilindungi daripada menjadi saksi di mahkamah. Kita tidak boleh terus menerus seperti ini ... harus ambil tindakan,” kata Madius.
Katanya lagi, berdasarkan pengakuan individu-individu berkenaan, maka tidak hairanlah terdapat pertambahan sangat luar biasa penduduk Sabah berbanding penduduk Sarawak pada masa yang sama.
Pada tahun 1961 jumlah penduduk Sarawak ialah 700,000 lebih dan pada tahun yang sama Sabah mempunyai lebih 400,000 orang penduduk. Kemudiannya pada 1970 Sarawak (lebih 900,000) dan Sabah (lebih 600,000).
Pada tahun 2020, dianggarkan penduduk Sabah berjumlah 3.9 juta orang termasuk lebih sejuta penduduk bukan warganegara, mengatasi jumlah penduduk Sarawak seramai 2.9 juta orang.
Comments