top of page
Wartawan Nabalu News

TIADA KEPERLUAN DARURAT SELEPAS 1 OGOS: RAJA-RAJA MELAYU


Gambar Hiasan - fotoBernama

16 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu sependapat bahawa tiada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini.


Dalam satu kenyataan Penyampaian Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, ia adalah antara satu daripada tujuh perkara yang dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-SuItan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.


Raja-Raja Melayu mengadakan perjumpaan bersama baginda hari ini (16 Jun) di Istana Negara Kuala Lumpur.


Perjumpaan turut dihadiri Sultan-sultan, Raja dan Yang Dipertuan dari Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Kedah, Pahang dan Perlis.


Selain tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos ini, enam perkara lain yang turut dipersetujui oleh Raja-Raja Melayu ialah pentingnya sebuah kerajaan yang stabil dan mendapat keyakinan serta sokongan majoriti rakyat dan suhu politik yang semakin panas wajib diredakan.


"Raja-Raja Melayu turut sependapat bahawa nyawa dan kehidupan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain, program vaksinasi hendaklah dipertingkatkan dengan mengurangkan birokrasi agar mencapai matlamat imuniti kelompok 80 peratus secepat mungkin.


"Program menangani wabak Covid-19 hendaklah bersifat inklusif, melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat yang sedia mendengar, sedia mempelajari, sedia melakukan pengubahsuaian, sedia melakukan penambahbaikan dan sedia melakukan penerokaan baharu hingga berjaya meyakinkan dan berjaya mendapat kerjasama penuh rakyat pelbagai peringkat," menurut kenyataan itu.


Beliau berkata, Raja-Raja Pemerintah berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman untuk menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.


"Dengan semangat tersebut Raja-Raja Pemerintah menyokong dan senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.


"Di peringkat negeri, Raja-Raja Pemerintah turut berpendirian agar Dewan-Dewan Undangan Negeri dibolehkan bersidang secepat mungkin.


"Kaedah dan prosedur persidangan seperti yang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan Virus Covid-19 wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini," menurut kenyataan itu.


Katanya lagi, adalah menjadi kewajiban Agong dan Raja-Raja Pemerintah di negeri-negeri untuk mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan menghindarkan kemungkinan sebenar ataupun tanggapan berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa.


Raja-Raja Melayu turut menegaskan pentingnya prinsip raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen diterjemahkan melalui budaya pemerintahan yang pada setiap masa meluhurkan Perlembagaan Negara dan mendaulatkan undang-undang.



Commenti


bottom of page