top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia hapus hukuman mati mandatori


5 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia menghapuskan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat mulai bermula Julai 4, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh.


Beliau berkata pemansuhan itu dilaksanakan melalui Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) yang bertujuan menghormati hak setiap individu untuk hidup di Malaysia serta memastikan keadilan bagi semua pihak.


"Prinsip asas yang ingin diberi penekanan oleh kerajaan di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi individu yang berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara setelah selesai menjalani hukuman," katanya dalam kenyataan kelmarin.


Beliau juga menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh akta ini mula berkuat kuasa.


Selain itu, beliau memberitahu bahawa Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) telah menerima perkenan Diraja pada 9 Jun lepas namun belum berkuat kuasa.


Beliau menjelaskan bahawa permohonan semakan hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat di bawah Akta 847 hanya boleh difailkan selepas terdapat penetapan tarikh kuat kuasa oleh Azalina melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Persekutuan.


Tambah beliau, undang-undang itu adalah langkah awal dalam mentransformasikan sistem keadilan jenayah di Malaysia.



bottom of page