- nabalunews
Tiada lagi penebangan hutan untuk penanaman sawit, usaha pemuliharaan hutan dan hidupan liar
18 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Tiada lagi penebangan hutan untuk aktiviti sawit di negara ini dalam usaha memastikan penjagaan hutan mampan dan hidupan liar seperti orangutan dan spesies terancam lain.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini juga menepis persepsi kononnya negara tidak serius dalam pengurusan hutan.
Katanya, dalam masa sama, kerajaan juga komited dalam memastikan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang juga amalan pertanian baik, tidak mencemarkan alam sekitar dan selamat, terus dilaksanakan pemain industri sawit di negara ini.
Johari berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Sambutan Hari Orangutan Sedunia 2024 di Pusat Pemulihan Orangutan Sepilok (SORC), Sandakan yang dianjurkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah (SWD) dan disokong oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) serta Jelajah Sandakan.
Pada majlis itu, Johari juga menamakan seekor anak orangutan berusia 3 tahun dengan nama Titi yang juga beliau ambil sebagai anak angkat.
Nama Titi dipilih bersempena nama kawasan Parlimen Titiwangsa yang beliau wakili.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Chan Fong Hin, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Mary Malangking mewakili Menterinya, Datuk Christina Liew.
Pengerusi MPOGCF, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Timbalan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Roland Oliver Niun, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran, Wilson Thomas dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Sementara itu, Johari berkata, pihaknya juga ada mengemukakan cadangan diplomasi orangutan di mana idea ini mendapat respon baik.
Jelasnya, orangutan ternyata sesuai tinggal di habitat asalnya dan bukan dipindahkan ke mana-mana.
Sementara dalam masa sama, mana-mana pengimport minyak sawit Malaysia dari serata dunia juga boleh memilih untuk menjadikan seekor atau lebih orang utan sebagai ‘haiwan angkat’ di bawah program berkaitan.
Katanya, kerajaan sangat komited dalam memulihara orangutan bagi memastikan ia tidak pupus di mana ketika ini Sabah mempunyai kira-kira 15,000 orangutan dan Sarawak sebanyak 2,000 orangutan.
Beliau juga memuji usaha Kumpulan Sawit Kinabalu, kerajaan Sabah dan juga Sarawak yang terus komited memulihara orangutan.
Sementara itu, Christina dalam ucapannya yang disampaikan Mary, berkata dalam usaha konservasi dan perlindungan spesis ini, kerajaan negeri telah menghasilkan Pelan Tindakan Orang Utan Sabah untuk tahun 2020- 2029 yang menggariskan lima objektif utama.
"Antaranya untuk memberhentikan kehilangan habitat dan memulihkan habitat orangutan di seluruh lanskap di Sabah dan melaksanakan pemantauan dan ramalan trend populasi orang utan di Sabah," katanya.
Comentários