Tiada peperiksaan pada Jumaat, Sabtu, Ahad: Perjuangan UPKO
28 September 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini melaksanakan dasar baharu supaya semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum.
Dasar Pelaksanaan Takwim Peperiksaan di IPT itu dinyatakan dalam surat makluman kepada semua universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan di negara ini bertarikh 2 Sept dan 19 Sept lalu.
Surat makluman itu meminta semua UA dan IPTS menyusun jadual peperiksaan agar tiada peperiksaan dijadualkan pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum.
Dalam surat edaran itu menyatakan, pelaksanaan dasar ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar menunaikan tanggungjawab agama yang jatuh pada hari berkenaan dan meluangkan masa cuti umum bersama keluarga dan rakan.
Bagaimanapun peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dikecualikan kerana jadual peperiksaan tersebut ditentukan oleh penyedia peperiksaan pihak luar.
Ini selaras dengan Plan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk memupuk dan membentuk individu yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang serta sebagai tanda toleransi dan menghormati antara satu sama lain.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Madius Tangau telah mencadangkan supaya KPT melaksanakan dasar baharu semua IPT tidak mengadakan peperiksaan pada hari Jumaat dan hujung minggu.
Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, cadangan tersebut mengambil kira faktor hari-hari berkenaan menuntut semua rakyat di negara ini hadir untuk menjalankan aktiviti keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing.
Cadangan itu beliau kemukakan semasa persidangan di Dewan Rakyat pada Mac lalu.
“Saya juga berterima kasih atas keputusan positif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengadakan peperiksaan SPM tahun ini hanya berlangsung pada Isnin hingga khamis, dan tidak ada lagi peperiksaan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.
“KPM perlu menetapkan peperiksaan hanya diadakan pada Isnin hingga Khamis sebagai dasar demi keutuhan falsafah pendidikan negara yang mengambil kepatuhan kepada Tuhan sebagai inti utama,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana Jumaat adalah hari bagi penganut Islam menunaikan Solat Jumaat, manakala hari Sabtu adalah Sabbath-Day bagi rakyat yang beragama Seventh Day-Adventist (SDA) dan Gereja Yesus Benar (GYB), dimana mereka akan pergi menjalani ibadah di gereja.
“Ahad pula adalah hari bagi umat Kristian yang ada di Malaysia seperti penganut Roman Katolik, Anglican, Basel dan beberapa lagi dominasi yang lain ke gereja.
“Amalan menghormati pelajar tanpa mengira agama seharusnya bermula dari sekolah” katanya.
Comments