Tidak kalah semua pada PRU15: Taufik
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tidak kalah semua pada PRU15: Taufik


26 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang berakhir baru-baru ini memberi keputusan di mana yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua, kata calon Pakatan Harapan (PH) Ranau pada pilihan raya itu Taufik Hj Dahlan.


“Perjuangan diteruskan kerana kekalahan adalah insiden yang perlu dijadikan renungan untuk melihat di mana kekurangan demi memperkukuh dan memperkasakan parti.


“Kita berharap apa jua pendekatan yang diambil oleh pentadbiran negara mulai sekarang akan memantapkan kelolaan dengan mengambil kira kepentingan semua kaum, agama dan negara.


“Kita juga berharap keputusan YDPA dilihat sebagai jalan terbaik untuk rakyat Malaysia.  Sudah tentu akan ada yang rasa tersisih tetapi hakikatnya tiada kata sepakat yang memuaskan hati semua orang,” katanya.


Bagi menghadapi masa depan politik Malaysia, Taufik berkata kesedaran perlu bahawa di tengah-tengah kepenatan rakyat dengan drama politik yang seolah-olah tidak berkesudahan, maka cukup-cukuplah.


“Agenda baharu perlu diperkasakan bagi menangani pemulihan keyakinan dan harapan rakyat untuk mendapatkan kerajaan yang stabil dan mampu mengangkat martabat negara serta menjadi kerajaan yang prihatin terhadap peningkatan taraf hidup rakyat.  rakyat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata tidak perlu ada niat mencabar kerajaan yang nampaknya telah diluluskan oleh banyak pihak hanya dengan mempersoalkan angka sokongan.


Menurutnya, kesediaan Perdana Menteri ke-10 (PM10), Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) membawa usul legitimasi kepada kerajaan baharu ini adalah satu langkah berani dan jujur.


Hasil daripada perjanjian ini, kata Taufik, segala kemungkinan boleh berlaku, namun setiap rakyat Malaysia akan memerhati dan menilai sebarang tindakan untuk mengganggu-gugat kerajaan baharu, lebih-lebih lagi jika ada usaha untuk mengadakan undi tidak percaya terhadap PM10.


“Ehwal politik selepas ini tidak boleh dikecualikan daripada penilaian masyarakat antarabangsa kerana rakyat Malaysia kini berhak mendapat pembelaan yang baik.


“Adalah tidak adil jika pemimpin berjuang semata-mata untuk meneruskan ego politik mereka, lebih-lebih lagi menyedari mereka tidak lagi mendapat sokongan yang baik.


“Saya secara peribadi berdoa agar PM10 diberi peluang membuktikan keikhlasan dan kesungguhan beliau menerajui kepimpinan negara.  Kebolehan dan pengalamannya harus diberi peluang terbaik,” katanya.


Taufik turut mengucapkan tahniah kepada Anwar di atas perlantikan sebagai PM10, setelah hampir 24 tahun rakyat Malaysia menanti kehadiran DSAI untuk menerajui negara.


Taufik mendapat 11,514 undi pada PRU15, iaitu 11,092 undi di belakang pemenang, Datuk Jonathan Yasin yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mendapat 22,606 undi.

bottom of page