Tidak perlu polemik isu konsert amal dapat tajaan syarikat minuman keras - Loke

30 Julai 2024
KLANG: Tidak perlu timbulkan polemik berhubung isu konsert amal pendidikan sebuah sekolah vernakular yang turut membabitkan sumbangan serta tajaan sebuah syarikat minuman keras di Sepang, baru-baru ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata ia sudah lama dipraktik dan dibenarkan untuk sekolah vernakular di samping perlu memastikan ia tidak melibatkan pelajar beragama Islam.
"Pendirian dan keputusan Kabinet pada tempoh hari adalah status quo iaitu apa yang diamalkan selama ini boleh dibenarkan untuk sekolah vernakular dan juga perlu memastikan bahawa ia tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam," katanya selepas meninjau status terkini projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT3) di Stesen Pasar Jawa di sini, semalam.
Loke berkata, perkara itu juga sudah dijelaskan oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dari UMNO dengan memaklumkan perkara itu dibenarkan sejak dahulu.
Pada Ahad lalu, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dilaporkan berkata, tiada yang tidak kena dengan tindakan sekolah vernakular menerima dana sumbangan syarikat minuman keras dan judi.
Ini kerana katanya, amalan itu sudah dilaksanakan kerajaan terdahulu termasuk kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata tajaan syarikat minuman keras kepada sebuah sekolah Cina di Sepang, baru-baru ini adalah untuk penganjuran konsert amal dan bukannya sumbangan kepada sekolah berkenaan.
Ahmad Zahid berkata, konsert amal itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dan Lembaga Pengelola Sekolah, namun wujud persepsi bahawa sumbangan itu adalah untuk dana sekolah.
Baru-baru ini, kontroversi tercetus apabila konsert amal pendidikan bertujuan membuat kutipan bagi membina dewan sekolah yang didirikan sejak 30 tahun lalu itu dikatakan turut membabitkan sumbangan dan tajaan sebuah syarikat minuman keras.
コメント