top of page

Tidak wajar kaitkan isu semasa dengan sambutan Hari Kebangsaan

  • nabalunews
  • Aug 27, 2025
  • 2 min read

Rina menyempurnakan agihan bendera kepada para penggiat sektor pengangkutan awam di daerah ini di Stesen Bas Stephen Tan, hari ini.
Rina menyempurnakan agihan bendera kepada para penggiat sektor pengangkutan awam di daerah ini di Stesen Bas Stephen Tan, hari ini.

27 Ogos 2025


TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Jainal berkata tindakan mengaitkan isu semasa dengan sambutan Hari Kebangsaan adalah sesuatu yang tidak wajar.


Katanya, isu solidariti dan sambutan Hari Kebangsaan merupakan dua perkara berbeza dengan tujuan tersendiri, serta tidak wajar dicampur-adukkan sehingga ada pihak yang enggan menyambut hari besar negara.


“Kemerdekaan negara adalah simbol perjuangan, pengorbanan dan kedaulatan negara, manakala, solidariti pula perlu diperjuangkan tetapi hendaklah disalurkan di landasan yang betul demi menuntut keadilan,”katanya.


Menurutnya, kedua-dua perkara itu penting, namun, isu semasa tidak harus menjejaskan semangat patriotik dan kecintaan rakyat kepada tanahair sendiri, sebaliknya mesti dipertahankan sebagai asas perpaduan dan jati diri bangsa.


Rina juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata demikian selepas program agihan bendera sempena Hari Kebangsaan di sekitar bandar Tawau di Stesen Bas Stephen Tan, hari ini.


Beliau mengagihkan lebih 500 Jalur Gemilang kepada para pemandu teksi, bas mini dan pekerja pengangkutan awam pada program berkenaan yang turut menjadi platformnya untuk mendengar keluhan para pemandu pengangkutan awam di Tawau.


Mengulas lanut, beliau memuji semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan para sektor pengangkutan awam di daerah ini meskipun berdepan kesukaran hidup susulan cabaran penurunan penumpang kerana persaingan e-hailing dan Grab.


Katanya, beliau menerima aduan ramai pemandu teksi yang kekurangan penumpang, malah terdapat juga bas mini yang hanya membawa seorang penumpang sahaja dari bandar.


Justeru itu, beliau menyeru pihak berwajib agar memberikan perhatian terhadap permasalahan golongan terbabit agar pengangkutan awam kekal relevan dan berkesan untuk masyarakat setempat.


Dalam pada itu, Rina menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan supaya turun padang menggerakkan lebih banyak agihan bendera percuma kepada masyarakat untuk menyemarakkan lagi kibaran bendera di daerah ini sempena bulan kebangsaan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page