Tiga Ditahan Milik Dadah, Positif Syabu dalam Ops Tapis Sandakan
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
3 Mac 2026
SANDAKAN: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Sandakan berjaya menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan di dua lokasi berasingan, semalam secara serentak.
Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 7.00 malam itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan di Kampung Sundang Laut, Jalan Batu Sapi dan Kg Kagayan, Batu 8 di sini.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman berkata, dua lelaki yang ditahan disyaki memiliki dadah jenis Methamphetamine, manakala seorang wanita pula disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri.

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif Methamphetamine (Syabu) dan Amphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi kes milik dadah, manakala bagi kes pengambilan dadah, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

"Operasi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan polis dalam membanteras gejala pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini," tegas ACP George.

Kesemua suspek kini ditahan di Lokap IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.















Comments