TIGA KLUSTER BAHARU DIKENALPASTI DI SANDAKAN, LAHAD DATU, SEPANGGAR
- nabalunews
- Nov 4, 2020
- 1 min read

4 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiga daripada enam kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini adalah di Sandakan, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah berkata, kluster-kluster itu ialah Kluster Penjara Sandakan, Kluster Dialisis Lahad Datu dan Kluster Sepanggar.
Kes indeks bagi kluster Penjara Sandakan dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan banduan pada 27 Oktober. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 38 lagi kes positif.
“Sehingga 4 November, 12 tengah hari, sejumlah 293 individu telah disaring, di mana 39 kes dikesan positif (34 kes baharu) dan 254 individu masih menunggu keputusan,” katanya.
Bagi Kluster Dialisis pula, ia melibatkan daerah Sandakan dan Lahad Datu. Kes-kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-25306, kes ke-25316 dan kes ke-26223) telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan petugas kesihatan pada 23 Oktober lalu.
“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 16 lagi kes positif. Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.
Sehingga 4 November, 12 tengah hari, sejumlah 49 individu telah disaring, di mana 19 kes dikesan positif Covid-19 (14 kes baharu) dan 30 individu dikesan negative,” katanya.
Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster Sepanggar (iaitu kes ke-25339) dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 24 Oktober dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran Mara (IKM), Sepanggar, Sabah.
Katanya, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak tujuh lagi kes positif Covid-19. Sehingga 4 November (hari ini), jam 12 tengah hari, sejumlah 95 individu telah disaring, di mana lapan kes dikesan positif (6 kes baharu), 86 individu dikesan negative dan satu individu masih menunggu keputusan.















Comments